SUNGAI PETANI: Seramai 250 penduduk di Harvard Suasana Resort, Bedong bimbang tentang keselamatan mereka ekoran kehadiran lebih 20 ekor anjing liar di kawasan perumahan itu sejak dua bulan lalu.
Anjing liar yang sentiasa berkeliaran itu juga mengganggu ketenteraman penduduk apabila sering bergaduh dan menyalak pada waktu malam.
Seorang penduduk, Syazwana Azahari, 35, berkata, kumpulan anjing liar didapati sering memasuki kawasan halaman rumah sehingga menimbul keadaan yang tidak selesa dalam kalangan penduduk.
Malah, katanya, anjing liar itu juga menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan hingga mengotorkan kawasan sekitar.
“Pada waktu malam pula anjing itu pula tidur di tempat parking kereta di rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di Harvard Suasana Resort, Bedong di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Solehah Mohamad, 67, berkata, masalah lembu berkeliaran di kawasan perumahan itu yang berlarutan sejak dua tahun lalu belum selesai, kini muncul pula anjing liar yang merimaskan penduduk.
Tambahnya, selain mengotorkan kawasan dengan najis di merata-rata tempat, haiwan ini juga mengancam keselematan penduduk terutamanya kanak-kanak.
“Haiwan itu didapati sering mengganggu penduduk yang keluar bekerja pada awal pagi dan kanak-kanak yang keluar bermain pada waktu petang hingga menakutkan mereka,” katanya.
Pesara guru, Norizan Mat Zin, 62, berkata, kemunculan anjing liar secara berkumpulan itu mengganggu ketenangan penduduk apabila sering menyalak pada waktu malam.
“Penduduk juga berdepan dengan ancaman diserang anjing liar itu apabila cuba menghalau haiwaan itu yang memasuki pekarangan rumah mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, penduduk meminta pihak bertanggung jawab khususnya Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dapat mengambil tindakan segera dengan menghalau atau menangkap anjing liar di taman perumahan ini. – UTUSAN