KANGAR: Kelibat anjing berkeliaran termasuk kesan najis haiwan itu di kawasan Tanah Perkuburan Islam, Tok Paduka di sini yang berusia lebih 100 tahun mengundang ketidakselesaan waris menziarah serta mencemarkan lokasi perkuburan Islam tersebut.
Masalah yang sudah berlarutan lebih empat tahun itu dikatakan berpunca apabila tembok dan pagar kawasan terbabit sudah rosak sekali gus memudahkan anjing masuk berkeliaran di tanah perkuburan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, waris kepada ahli keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan tersebut, Samsudin Oli Mohamed, 57, berkata, kelibat anjing berkeliaran mengganggu aktiviti ziarah di situ.
Justeru katanya, tembok dan pagar berkenaan perlu segera dibaiki bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Kita sudah mengajukan masalah ini kepada pihak yang menjaga kubur dan jawatankuasa tanah perkuburan di kawasan berkenaan dan mereka memaklumkan sememangnya memerlukan dana bagi membaiki kerosakan tersebut.
“Masalah tersebut bukan baharu dan sudah lama berlarutan. Masalah itu sangat mengganggu orang menziarah selain mencemarkan kawasan perkuburan dengan najis haiwan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, sekumpulan pelajar Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dan Pelajar Luar Kampus (PLK) Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini mengunjungi lokasi perkuburan tersebut.
Pengarah Subjek Khidmat Masyarakat III PJJ dan PLK UUM, Afizi Ahmad berkata, ahli kumpulannya mengambil tanggungjawab berusaha memperbaiki atau memulihkan tembok dan pintu laluan masuk ke kawasan itu.
“Hasil daripada tinjauan kami, tembok dan pintu laluan ke kawasan itu rosak dan menyebabkan anjing berkeliaran.
“Pada peringkat permulaan ini, kami perlu berbincang dan mendapatkan kerjasama dengan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk atau mereka yang ingin bekerjasama untuk membaiki semula kerosakan di kawasan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, mereka juga mengharapkan sumbangan dan penajaan daripada mana-mana pihak yang ingin turut bersama-sama membantu bagi menyegerakan proses pembaikkan tersebut.
“Bagi mereka yang ingin turut serta dan menyampaikan sumbangan sama ada dalam bentuk barangan pembinaan atau wang boleh menghubungi di talian 011-11975890 (Nur Sabrina),” katanya.