Anifah salahkan bekas Ketua Menteri cetus tuntutan Sultan Sulu - Utusan Malaysia

Anifah salahkan bekas Ketua Menteri cetus tuntutan Sultan Sulu

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan melulu seorang bekas Ketua Menteri yang mahu mengadakan rundingan dan perbincangan dengan Filipina mendorong negara jiran itu meneruskan tuntutan terhadap Sabah.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau menyalahkan pemimpin tersebut yang didakwa kurang pengalaman dan pengetahuan sehingga mendorong Filipina menjadi lebih berani melakukan tuntutan terhadap Sabah.

“Semasa saya memegang jawatan Menteri Luar, Filipina tidak pernah bertindak berani (buat tuntutan) seperti sekarang.

“Situasi ini menunjukkan bekas Ketua Menteri itu seolah-olah mengabaikan sejarah negara dan undang-undang antarabangsa sekali gus menggugat kedaulatan negeri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Presiden Parti Cinta Sabah itu berkata, beliau telah menasihati bekas Ketua Menteri pada masa itu untuk mengambil masa dan memahami tentang hubungan diplomasi serta cara mengendalikan hubungan antarabangsa bagi mengelak kesilapan terutama melibatkan kedaulatan negara.

Nasihat itu juga terpakai untuk bekas Peguam Negara yang tidak mengambil berat tentang implikasi surat yang diutus kepada Paul Cohen dan pihak timbang tara Dr. Gonzalo Stampa.

Mengulas lanjut katanya, beliau kekal dengan pendirian untuk tidak melayan dan mengiktiraf sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap Sabah.

“Sabah diiktiraf oleh Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dalam Malaysia sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Malah, pada masa itu, rakyat Sabah juga memilih untuk membentuk Malaysia berbanding menjadi sebahagian daripada Filipina,” katanya.

Surat bekas Peguam Negara mencetuskan kontroversi pada minggu lalu, selepas laporan mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan kerajaan membayar AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Sebelum ini, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kerajaan Malaysia menolak perintah timbang tara Perancis yang mengarahkan Malaysia membayar sejumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara itu kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan tidak pernah mengetepikan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya