TAIPING: Seorang anggota bomba cedera akibat terkena serpihan letupan ketika operasi memadam kebakaran di Bazar Tsen Loong, Jalan Taming Sari di sini, awal pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 2 pagi itu mengakibatkan Abdul Hakim Ahmad Zaidi, 30, tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Mangsa yang cedera di muka itu bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kebakaran membabitkan beberapa unit kedai di bazar itu pada pukul 2.02 pagi.
Katanya, ketika operasi pemadaman, berlaku satu letupan kecil di satu unit kedai di bazar itu hingga menyebabkan serpihan letupan terkena mangsa.
“Kejadian berlaku ketika mangsa dan beberapa anggota sedang memecahkan pintu kedai di bahagian belakang. Mangsa yang berada di hadapan anggota lain telah terkena serpihan letupan sebelum rebah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rafeel Hairul berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa lain dengan operasi pemadaman disertai 29 anggota termasuk bantuan dari BBP Kamunting dan Batu Kurau.
“Sebanyak sembilan daripada 50 buah kedai di bazar itu terbakar dengan anggaran kemusnahan sebanyak 40 peratus. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya. – UTUSAN