SEREMBAN: Sepasang kembar yang memulakan hari pertama persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, Senawang di sini, memilih untuk berasingan kelas kerana mahu berdikari.
Kedua-duanya adalah anak kepada Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya bersama empat rakan lain yang juga tentera dihanyutkan arus deras di Missouri, Amerika Syarikat pada 26 Disember 2015.
Ibu mereka, Siti Hazwani Ahmad, 36, berkata, anak kembarnya itu, Muhammad Aqil Solihan, 7, dan Muhammad Aqil Solihin Hasman, 7 itu juga berbeza perwatakan dengan Solihin lebih mirip mengikut arwah bapanya.
“Mereka memasuki tahun 1 hari ini dan memaklumkan tidak kisah sekiranya diasingkan kelas. Lagipun pada peringkat prasekolah mereka berdua sudah bersama dalam satu kelas.
“Solihan agak lincah dan seorang yang aktif, suka bercakap dan suka bersajak dan sering memasuki pertandingan sajak. Solihin pula agak pemalu namun dilihat fokus dalam bidang akademik dan berjaya meraih keputusan cemerlang.
“Selain itu, saya melihat Solihin lebih mengikut perwatakan arwah bapanya yang serius dan pendiam. Jika dilihat sama 100 peratus mengikut arwah dari segi budi bicara dan fizikal,” katanya.
Ketika kejadian pada 2015 itu, Allahyarham Hasman sedang menjalani kursus di sebuah kem tentera, Fort Leonard Wood, Missouri manakala Siti Hazwani pula baharu tiga bulan melahirkan pasangan kembar berkenaan.
Siti Hazwani memaklumkan, Allahyarham hanya sempat melihat anak kembar mereka dalam tempoh 20 hari sebelum bertolak ke Amerika Syarikat untuk menjalani kursus.
“Ketika itu, saya mengambil keputusan untuk bercuti sementara dari sektor awam. Memang agak mencabar mahu membesarkan mereka seorang diri namun Alhamdulillah sekarang mereka sudah besar, keluarga arwah juga banyak membantu saya selama ini,” katanya.
Dia yang sudah kembali bertugas dalam sektor awam menjelaskan, mengambil cuti selama sehari bagi menghantar anak kembarnya itu memasuki tahun satu pada sesi persekolahan sebelah petang. – UTUSAN