Ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah pepatah yang sesuai bagi putera keempat pengarah tersohor tanah air, Allahyarham Mamat Khalid, iaitu Amen Khalid yang kini menggalas tanggungjawab mengarah dan menyempurnakan hasil karya terakhir bapanya, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
Mengenali Allahyarham, dia seorang karyawan yang tidak pernah kering dengan idea-idea yang bijaksana dan sentiasa komited apa jua karya yang ingin dipersembahkan.
Itulah sentuhan Mamat yang takkan dapat terganti oleh sesiapa. Insan yang memiliki benak fikiran yang luar biasa dengan menghasilkan karya yang sarat dengan elemen satira dan kupasan isu sejagat.
Benar, dia adalah seniman terulung yang tiada gantinya. Pun begitu, pewaris legasi Mamat, Amen meneruskan hal yang berbaki.
Biar air mata lelakinya tumpah di set penggambaran, Amen berjaya dengan jayanya melunaskan impian terakhir bapanya.
“Saya selalu teringat arwah papa. Setiap kali menyunting video, saya rasakan dia ada di belakang.
“Setiap kali penggambaran juga seperti dengar sahaja suaranya, jadi saya memang ‘barai’ lah.
“Setiap kali ke set, memang saya teringat kepada arwah papa. Cara saya menaikkan semangat semula kepada diri adalah saya akan tenang dahulu dan mula menyelesaikan tugasan,” katanya ketika ditemu bual.
Kini, ibu kesayangannya pula menjadi sumber kekuatan dan semangatnya dalam meneruskan legasi karya bapanya, terutama dalam menyempurnakan karya yang kerap kali menjadi buah mulut orang ramai ini.
“Para pelakon dan kru belakang tabir banyak membantu dan sentiasa menyokong saya dan paling banyak memberi kata semangat adalah mama sendiri.
“Kalau bukan kerana mama, saya tidak lakukan. Mama lah yang beri semangat untuk buat. Terutama apabila mama nak ikut sekali ke set penggambaran. Kalau tiada mama, tentu saya tidak bersemangat,” ujarnya.
Walau figura seniman itu sudah tiada di sisi buat selamanya, segala kenangan dan pesanan Allahyarham kekal dalam ingatan Amen.
“Saya selalu ingat pesan papa iaitu ‘buat baik-baik, jangan main-main’. Dia selalu ulang ayat itu, buat dengan serius dan pegang tanggungjawab betul-betul.
“Nasihat dia yang lain adalah ‘layan sahaja’, apa jua yang terjadi hanya layan sahaja. Saya cuba.
“Tanggungjawab untuk menyempurnakan karya ini amat besar bagi saya. Jadi, saya usaha sebaik mungkin untuk tidak lari konsep papa. Saya harap semua dapat terima,” tuturnya lagi.
Nak bandingkan saya dan papa? Tiada masalah
Sudah pastinya, ada juga timbul kegusaran di fikiran penonton terutama peminat-peminat hasil karya Allahyarham Mamat Khalid.
Iya lah, mereka risau jika air tangan putera sutradara hebat itu tidak sama atau lari dengan idea bapanya dalam menghasilkan dalam filem-filem sebelum ini.
Pun begitu, bagi Amen sendiri, dia sama sekali tidak kisah dan terbuka jika para penonton di luar sana membandingkan hasil tangannya dengan arwah bapanya.
“Bagi saya, okey sahaja jika penonton hendak membandingkan saya dengan papa kerana ini adalah pertama kali pengarahan saya.
“Tiada masalah, saya pun ingin mengetahui maklum balas apa yang masyarakat dan penonton mahukan,” katanya.
Mengulas lanjut, dia turut mengakui dirinya tidak sama dengan Mamat Khalid. Ini kerana, Amen masih dalam usaha untuk belajar sebagai pengarah seperti bapanya.
Dalam pada itu, Amen juga ingin mencuba menghasilkan karya menerusi genre yang lain. Bagaimanapun, dia tidak sama sekali akan melupakan genre bapa kesayangannya untuk diterapkan dalam hasil karya.
“Bagi saya, Mamat Khalid hanya ada satu sahaja dalam dunia ini. Saya pun tidak rasa, saya ini sama seperti papa.
“Saya segan sebenarnya dengan para pelakon otai kerana saya baru lagi hendak mengarah. Mesti ada cabarannya tersendiri.
“Pada masa akan datang, saya ingin mencuba genre lain, dan genre papa pun saya akan ikut juga. Saya akan membuat cerita berbeza iaitu mengadunkan style saya dan papa,” ujarnya.
Air tangan Amen sama seperti Allahyarham Mamat -Pak Jabit
Pasti sudah diketahui ramai, figura pengarah dan pelakon terkenal, Aziz M. Osman sering kali mewarnai kebanyakan karya Allahyarham Mamat Khalid.
Pak Jabit, itulah nama karakter popular yang sering menghisai kesemua edisi karya Kampung Pisang.
Menurut Aziz, air tangan Amen Khalid dikatakan tidak saling tumpah seperti arwah bapanya. Ia kerana, pelakon itu mendedahkan Amen sudah terbiasa dengan kerja-kerja di set penggambaran.
Mana tidaknya, setiap karya legenda itu, pasti ada anak lelakinya ini sebagai pembantu di set. Makanya, tidak terkejut jika Amen mengambil kerusi Allahyarham sebagai pengarah.
“Apabila bercakap tentang waris, saya tidak tahu mengapa arwah mencetuskan kata-kata yang Amen akan menjadi pewarisnya. Tanpa mengesan mesej yang ingin disampaikan, saya membalas InsyaAllah.
“Sebelum ini pun saya sudah melihat hasil daripada Amen, saya berasa teruja dengan hasil karyanya.
“Jadi, saya tidak begitu rasa terkejut jika Amen mengambil tempat bapanya untuk meneruskan legasi Allahyarham. Saya juga tidak terkejut air tangan itu sama dengan Allahyarham,” katanya.
Tambah Pak Jabit lagi, ketiadaan seorang seniman terulung itu bukanlah satu perubahan besar di set pengambaran mahupun satu kejanggalan kerana air tangan Amen sama seperti Allahyarham.
“Tidak ada satu perubahan besar kerana selama pengambaran bersama arwah, Amen akan sentiasa ada kerana dia menjadi pembantu bapanya di set penggambaran. Cuma, yang tiada hanya arwah Mamat sahaja, yang lain kami rasa biasa.
“Selama ini pun Amen ada monitor sebagai penolong pengarah dan penyunting. Tetapi, pada kali ini yang betul-betul mengadap monitor seorang. Sewaktu penggambaran, Amen berjaya melakukan tugasannya.
“Bagi saya juga tidak ada sesuatu kejanggalan ketika penggambaran kerana air tangan Amen sama seperti arwah Mamat Khalid. Alhamdulillah,” tuturnya panjang.
Siapa tidak kenal dengan watak Barkobar dalam setiap edisi Kampung Pisang yang dijayakan bintang berbakat besar, Bell Ngasri.
Dia turut akui cara Amen di set lebih kurang persis dengan bapanya. Tingkah laku Amen itulah menjadi pengubat rindu para pelakon.
Bell juga memberitahu, tidak perlu risau dengan jalan cerita, sememangnya tidak sedikit pun jalan cerita akan lari kerama pemikiran Allahyarham ada di bawah air tangan Amen.
“Semasa penggambaran, bila lontarkan suara ‘action!’, suara Amen lebih kurang sahaja dengan arwah Mamat. Lawak-lawak arwah ada pada Amen.
“Lakonan, permainan dalam jalan cerita untuk karya ini tidak lari jauh. Amen memahami bagaimana mahu menggayakan watak saya dan semua watak yang terlibat.
“Bagi mereka yang memikirkan jalan cerita akan lari, sebenarnya tiada. Apa sahaja pemikiran arwah ada dalam cerita ini, di bawah tangan Amen sama sahaja. pada kali ini, Amen lebih kerap duduk di kerusi pengarah,” ujarnya.
Sekadar informasi, filem komedi seram, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali telah mula ditayangkan di pawagam rumah masing-masing, di Astro First bermula 3 Mac lepas.