Ambulans macam van jenazah: Kes terpencil - APHM - Utusan Malaysia

Ambulans macam van jenazah: Kes terpencil – APHM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan ambulans dikendalikan sektor swasta yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak mempunyai pembantu perubatan (MA) adalah kes terpencil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, beliau tidak menafikan mungkin wujud kes sedemikian, namun tidak sehingga menjejaskan proses rawatan awal di ambulans sebelum tiba ke hospital.

Jelasnya, hospital-hospital swasta masih mengikuti garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan berhubung penyediaan pembantu perubatan dan peralatan perubatan asas untuk pesakit.

“Ini hanya kes terpencil, dan jangan disebabkan satu atau dua kes berlaku, kita memukul rata semua penyampaian kesihatan kelihatan buruk.

“Kebanyakan hospital yang besar, akan pastikan ambulans mempunyai peralatan lengkap dan sudah pastikan, kami akan mencari vendor yang ada kelengkapan berkaitan selain sijil kelayakan yang diiktiraf.

“Saya tidak boleh sahkan jika ada kes berlaku, tetapi, akan cuba membantu jika ada hospital kecil yang bermasalah tetapi, saya percaya lebih 90 peratus hospital yang menggunakan khidmat ambulans menggunakan standard tertentu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini kelmarin, memetik Presiden Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Mustafa Abdul Majid yang mendakwa, hampir 100 peratus perkhidmatan ambulans swasta ibarat van jenazah.

Dakwaan itu rentetan perkhidmatannya dilaporkan tidak mematuhi SOP Kementerian Kesihatan, tiada pembantu perubatan dan perkakas asas bagi memberi rawatan awal kepada pesakit.

Terdapat 1,200 ambulans di seluruh negara dengan 25 peratus dikendalikan pihak swasta termasuk hospital persendirian dan organisasi sukarela tempatan.

Utusan Malaysia masih mendapatkan maklum balas Kementerian Kesihatan mengenai laporan tersebut dan sama ada memperketatkan lagi undang-undang termasuk Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, jika didapati berlaku kes yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya