Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Damasutra, Bahagia Daharun atau Baggio mengakui keperluan untuk kumpulan tersebut mencari gitaris baharu untuk menjayakan sebarang persembahan di masa akan datang.
Namun katanya, individu yang menggantikan gitaris asal, Allahyarham Alok perlu mempunyai keserasian dengan ahli kumpulan yang lain.
“Memang tak ada. Alok the only one. Tetapi untuk kelangsungan Damasutra, kita kena cari pemain gitar yang lain.
“Tetapi kena betul-betul wujudkan chemistry untuk buat persembahan bersama-sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Alok atau nama sebenarnya, Naharuddin Yunus menghembuskan nafas terakhir pada Oktober tahun lalu akibat serangan jantung.
Allahyarham berusia 55 tahun.
Arwah yang menyertai Damasutra pada tahun 1991 memiliki empat album bersama kumpulan itu seperti Antara Sutra dan Bulan, Asyik, Kurnia dan Penawar.
Dalam pada itu, Baggio juga memberitahu bahawa dia dan anggota Damasutra yang lain sedia untuk bergabung semula untuk membuat persembahan.
“Kami mahu kembali, tak ada hal. Untuk membuat persembahan yang menampakkan real color of Damasutra tak ada masalah. Boleh sahaja, anytime,” katanya lagi.