PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri, mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada 6 Mac lalu.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Boneka itu selepas salah seorang peminatnya bertanya soalan mengenai perasaan penyanyi tersebut tidak menyanyikan lagu sendiri di pentas berprestij itu, menerusi ruangan AskMe di Instagram.
“Ada rasa sedih tak sebab tidak dapat beraksi di AJL?” tanya seorang warganet.
Menurut Ernie yang lebih disapa Ninie, dia berasa sedikit terkilan apabila mengenangkan para peminatnya yang tidak pernah lekang menyokong dan mengundi sehingga lagu Boneka layak ke semi final Muzik-Muzik 36.
“Sejujurnya, tidak sedih kerana tahu akan dapat harta yang paling berharga di dunia.
“Tetapi, semestinya mengenangkan semua penyokong yang mengundi lagu Boneka sehingga layak ke semi final, adalah sedikit terkilan,” jawabnya.
Mengulas lanjut, penyanyi itu bagaimanapun reda dan bersyukur dengan perancangan Ilahi yang lebih baik buat dirinya.
“Sudah tertulis, memang bukan Kak Ninie sendiri yang akan menyanyi lagu Boneka. Allah punya perancangan lebih baik.
“Jadi, tiada rasa apa-apa yang negatif. Lebih kepada bersyukur kerana ada rezeki untuk bersama-sama bayi,” katanya.
Sebelum ini, tanda tanya siapa menggantikan penyanyi itu di AJL36, akhirnya terjawab apabila suami tercintanya, Syamel membuat kejutan dengan tampil mendendangkan lagu berkenaan.
Terdahulu, Ernie selamat melahirkan cahaya mata perempuan jam 10.14 pagi, pada 22 Februari lepas.
Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada tanggal 26 Mac tahun lalu, di Masjid Puncak Alam, Selangor.