Alasan tak tahu larangan merokok tempat awam masih dikuat kuasa - Utusan Malaysia

Alasan tak tahu larangan merokok tempat awam masih dikuat kuasa

DING Lay Ming (kanan) dalam sidang akhbar mengenai operasi penguatkuasaan larangan merokok di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 195 notis kesalahan melibatkan nilai kompaun RM49,750 dikeluarkan kepada perokok dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam di seluruh daerah Kinta.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, notis terbabit dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (2004) dalam operasi selama tiga hari bermula Selasa lalu.

Lay Ming berkata, kebanyakan perokok yang dikenakan kompaun memberi pelbagai alasan tidak munasabah termasuk menyangka larangan merokok di premis awam tidak lagi dikuatkuasakan.

“Kebanyakan mereka mengatakan tidak mengetahui, seolah-olah larangan merokok dalam kawasan premis makanan sudah tamat. Dalam hal ini tidak timbul isu salah faham kerana di premis pun telah ditulis kawasan larangan merokok.

“Ini bukan alasan yang baik atau munasabah. Alasan kononnya larangan merokok di tempat awam sudah dihentikan dan tidak lagi berkuatkuasa hanyalah alasan,” katanya dalam sidang akhbar operasi penguatkuasaan larangan merokok di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ummi Kalthom Shamsudin dan Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan Negeri JKN Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar.

Menurut Lay Ming, sebanyak 536 premis diperiksa melibatkan restoran, stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, bangunan kerajaan serta pasar raya dalam operasi diketuai Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Beliau berkata, dalam operasi tersebut, 74 notis turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) membabitkan pengendali makanan di premis makanan.

Katanya, notis dengan nilai kompaun RM7,550 dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi kehendak pakaian dan kebersihan pengendali makanan.

“Terdapat juga kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dikesan membabitkan pelanggaran terhadap prosedur operasi  standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4. Antaranya tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tidak mengimbas MySejahtera ketika memasuki premis dengan 46 kesalahan melibatkan nilai kompaun RM46,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya