PETALING JAYA: Pelakon senior, Roy Azman tampil mengambau kembali memori di saat mula menceburi industri seni sejak usia remaja.
Menurut Roy, pada mulanya dia hanya sebagai seorang pelakon ekstra dan pembantu sebelum menjadi sebahagian daripada keluarga Skop Productions.
“Aku mula berlakon dari tahun 1988. Umurku 18 tahun ketika itu sebagai ekstra sahaja. Drama kedua terus diangkat menjadi pelakon pembantu. Wow, teruja.
“Selepas itu, berkenalan dengan Datuk Yusuf Haslam dari pelakon otai, arwah Yazid Sabrani.
“Melekat dengan Skop Productions lama juga sambil kerja di situ dan di Misc sehingga 1996. Seterusnya menjadi pelakon,” kongsinya di Instagram.
Mengulas lanjut, Roy turut mengakui namanya kian dikenali umum kerana gelak tawanya.
“Aku ini tidak ramai peminat sampailah video ketawa aku tular. Aku pun tidak tahu kenapa orang suka ketawa aku ini.
“Sekarang aku pergi mana-mana pun orang gelak dulu sebelum aku buat apa-apa. Tetapi tidak apa, aku suka.
“Aku buat apa pun dapat sokongan yang baik dari orang ramai. Memang seronok. Terima kasih sangat-sangat. Inilah rezeki aku dan keluarga. Syukur,” coretnya panjang.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi daripada rata-rata warganet dan rakan artis.
“Pelakon hebat ini kira sudah legend lah abang Roy Azman. Otai,” komen pelakon Salina Saibi.
“Baca pun nak gelak macam mana itu,” komen seorang warganet.
“Suka menonton abang Roy dari zaman muda sampai sekarang,” komen juga seorang peminatnya.