Aktiviti sukan, kokurikulum bersemuka di sekolah dibenar mulai 21 Mac - Utusan Malaysia

Aktiviti sukan, kokurikulum bersemuka di sekolah dibenar mulai 21 Mac

PARA pelajar Sekolah Watak Zakat Kedah, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kaspa) mengikuti silibus pertahanan awam yang dikendalikan oleh APM. UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka di kawasan sekolah yang melibatkan guru serta murid sekolah berkenaan, dibenarkan mulai Isnin ini.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, pihaknya membuat beberapa penambahbaikan ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Jelas kementerian itu, kebenaran tersebut termasuk pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum yang melibatkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan sekolah.

“Dalam hal ini, guru, jurulatih atau pengajar yang terlibat dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka bersama murid hendaklah lengkap divaksin.

“Annex berkaitan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum ini boleh diperoleh melalui pautan https://www.moe.gov.my/muat-turun/kenyataan-media/km2022/5084-annex-sukan-kokurikulum-bersemuka-kpm/file,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan memberitahu, penganjuran aktiviti, pertandingan atau kejohanan sukan dan kokurikulum turut dibenarkan, namun pelaksanaannya adalah terhad dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid, guru, jurulatih atau pengajar sekolah berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan aktiviti itu dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran kementerian.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti, pertandingan atau sukan dan kokurikulum jika didapati penganjur tidak mengikut ketetapan.

“Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah hendaklah mematuhi garis panduan Annex Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN