ALOR SETAR: Pengasas Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berharap penubuhan universiti itu dapat menjadi talian hayat kepada pelajar yang senasib dengannya yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kerana kemiskinan.
Menurut beliau, pelajar yang dipilih melanjutkan pelajaran di universiti ini diharapkan dapat mengubah masa depan mereka selepas menamatkan pengajian.
“Seperti kebanyakan daripada anda, ibu bapa saya buta huruf. Ayah saya adalah seorang peniaga dan ibu, suri rumah. Tidak seperti anda, saya tidak pernah berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana kemiskinan. Saya mula membantu ayah dalam perniagaan sejak usia muda 15 tahun.
“Lantas apabila saya mempunyai kemampuan, saya berazam untuk menyediakan peluang dengan mencipta talian hayat bagi membolehkan seseorang mengubah masa depan mereka melalui pendidikan,” katanya dalam Konvokesyen Pertama AIU di kampus di sini hari ini.
Hari ini mencipta sejarah buat universiti diasaskan oleh bilionair dan dermawan tersebut apabila 145 graduan yang dibiayai olehnya melalui Yayasan Albukhary itu menerima ijazah dan sijil masing-masing.
Walaupun sebagai individu penting di sebalik penubuhan universiti berkenaan termasuk membiayai sepenuhnya pengajian penuntut daripada seluruh dunia itu, tegas beliau, impiannya sekadar ingin melihat setiap graduan berkenaan mampu berbakti kepada yang memerlukan.
“Biasiswa ini bukan pinjaman dan ia juga bukan ikatan. Apa yang saya mahukan adalah untuk anda semua membantu mereka yang memerlukan. Saya tidak membezakan pembiayaan pendidikan yang saya sediakan kepada anda dengan anak-anak saya.
“Harapan saya adalah agar anda ‘membayar’ semula kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam teks yang dibacakan oleh anak perempuannya, Sharifah Sofia.
Berucap lanjut kata beliau, sebagai individu yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan tidak mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kerana kemiskinan itu, kewujudan AIU ini diharapkan dapat memberi sinar kepada mereka yang senasib.
“Seperti kata ibu saya, tiada apa yang menjadi milik anda, sehingga anda memberikannya sepenuh hati anda dengan harapan ia dapat memudahkan kehidupan seseorang,” katanya.
Katanya, AIU berharap graduan terlibat dapat mempraktikkan kesemua nilai utama, 5A yang diterapkan sepanjang pengajian iaitu adab, akhlak, akidah, amanah dan amalan ketika menempuh alam pekerjaan nanti.
“Perlu ada keseimbangan dalam asas kehidupan dan saya tekankan tentang prinsip peraturan 8 jam daripada 24 jam kehidupan seharian kita kepada tiga bahagian iaitu 8 jam pendidikan, 8 jam tidur dan 8 jam membantu orang lain.
“Saya berharap semua graduan AIU mengamalkan 5A dan peraturan 8 jam ini serta berinovasi dalam perniagaan sosial,” katanya.
Berucap lanjut kata beliau, pihaknya juga terhutang budi kepada Canselornya, Prof Muhammad Yunus yang menerima tawaran untuk berkhidmat di universiti berkenaan. – UTUSAN