JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergerak menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebentar tadi.
Presiden UMNO itu dijangka menghadap Sultan Ibrahim dipercayai berkaitan pelantikan Menteri Besar Johor yang calon tunggalnya ialah Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Difahamkan ia susulan BN berjaya mendapat mandat rakyat bagi membentuk kerajaan negeri selepas meraih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Terdahulu, Presiden UMNO itu hadir ke Bangunan UMNO di Jalan Yahya Awal, di sini pada pukul 2.30 petang bagi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Hasni.
Setelah selesai pertemuan ringkas selama 20 minit itu, Ahmad Zahid bergerak meninggalkan Bangunan UMNO pada pukul 2.50 petang ini.
Sumber memberitahu, Ahmad Zahid bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi tadi menaiki kereta, selepas menerima titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN