KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan penyokong di kawasan Parlimennya selain didorong masalah ketidakstabilan politik negara.
“Keputusan ini dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan penyokong akar umbi di kawasan saya dan juga beberapa faktor utama yang antaranya adalah ketidakstabilan politik di negara ini yang menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya langkah terbaik untuk mara ialah mengetepikan politik buat masa ini agar dapat membantu mengstabilkan dan membina semula negara tercinta.
“Perdana Menteri kita sedang melakukan segala yang perlu bagi membantu rakyat Malaysia mengharungi tempoh yang sukar ini dan saya perlu memainkan peranan dengan menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Mac 2019, Masir pernah menganggotai Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak, bagaimanapun, beliau meletak jawatan dan kemudian menyertai PSB diterajui Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Masir pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lalu di Balai Ringin, namun tewas oleh Datuk Snowdan Anak Donald Lawan (GPS) dengan undi majoriti 1,285. – UTUSAN