KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad, Datuk Dr. Azhar Ahmad dilantik sebagai Senator Dewan Negara hari ini.
Beliau yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah lantikan baharu Yang di-Pertuan Agong dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Azhar mengangkat sumpah bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali dan lantikan mereka berkuat kuasa mulai hari ini hingga 20 Mac 2025.

Rais mengalu-alukan pelantikan dua Ahli Dewan Negara itu dengan memberi peringatan supaya menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi.
Katanya, setiap Ahli Dewan Negara perlu mematuhi serta melunaskan tanggungjawab sebagai Senator sebaiknya kerana hasil kerja setiap daripada mereka akan dinilai dan diukur oleh rakyat.
“Zaman Ahli Dewan Negara seperti dahulu harus dikikis dan Ahli Dewan Negara yang baharu perlu jadikan sebagai realiti dan senarai tugas telah diberikan dan diharapkan Ahli Yang Berhormat menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjuarai apa-apa juga bidang yang terpalit dengan tugasan tersebut.
“Tugas dan khidmat kita tidak berakhir pada bunyi loceng Parlimen sebaliknya khidmat kita lantas terus di lapangan rakyat sama ada di kampung dan pekan, di bandar dan luar bandar,” katanya.
Pada masa sama, Rais juga meminta supaya Ahli Dewan Negara tidak membaca teks perbahasan secara keseluruhannya sebaliknya berbahas mengikut lunas di Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 36.
Dalam pada itu, Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Senator Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di luar dewan pada 20 Jan 2022.
Kedua-dua mereka adalah lantikan baharu oleh Dewan Undangan Negeri Perak. – UTUSAN