IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia yang sedang dihadapinya adalah merupakan muslihat politik.
Choo Kiong, 52, menyatakan perkara itu di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed ketika sesi pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili bekas Exco kerajaan negeri itu.
Menurut beliau, muslihat itu dirancang pihak tertentu disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak goyah kerana hanya memiliki majoriti tipis dengan kelebihan tiga kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah katanya, sekiranya terdapat dua ADUN daripada PH disingkirkan atau dijatuhkan, maka kerajaan negeri ketika itu juga akan jatuh.
“Ada juga ura-ura yang mengatakan terdapat usul tidak percaya kepada Menteri Besar akan diadakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selain saya akan diganti atau disingkirkan. Selepas kejadian, ada seorang lagi Exco yang dituduh terlibat dalam kes rasuah. Ini adalah jelas menunjukkan ada pihak yang cuba menjatuhkan kami dalam kerajaan pada masa itu. Tarikh kejadian iaitu 7 Julai 2019 juga adalah terlalu dekat dengan majlis angkat sumpah penggal kedua Exco dan saya merupakan Exco pada ketika itu.
“Saya rasa ada pihak yang amat iri hati dan cemburu terhadap porfolio yang dipegang iaitu kerajaan tempatan, perumahan, pengangkutan awam dan hal ehwal bukan Islam dan kampung baharu,” katanya pada hari pertama prosiding bela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Choo Kiong yang memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi juga memberitahu mahkamah, beliau percaya mempunyai musuh politik kerana sentiasa berasa diekori oleh kenderaan tidak dikenali setiap kali ke pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri atau pulang ke rumah.
Malah katanya, beberapa kali kereta diletakkan di tepi jalan sehingga dia masuk ke rumah atau meronda di depan rumah dan taman perumahannya.
“Isteri saya juga selalu menerima panggilan telefon yang ganjil atau dicurigai selain ada orang datang ke rumah menyamar sebagai pembanci,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan Rajpal sama ada dia percaya dirinya terlibat dengan muslihat politik berdasarkan saksi terlindung kedua di mahkamah yang membawa pembantu rumahnya untuk membuat laporan polis dan pernah menyebutkan nama empat ADUN yang terlibat dalam kes itu.
Katanya, dalam laporan polis dibuat Datuk Ngeh Koo Ham (Penasihat DAP Perak) juga menyebut bahawa lelaki yang membawa pembantu rumahnya pergi ke balai untuk membuat laporan telah diacukan pistol dan diberi wang sebanyak RM100,000 untuk menjalankan tugas itu.
“(Polis) tak pernah siasat tentang muslihat politik dan saya ada sebut dalam laporan polis saya,” katanya ketika ditanya sama ada pegawai penyiasat menjalankan soal siasat mengenai dakwaan muslihat politik itu.
Sementara itu semasa disoal balas Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi sama ada dia ada membuat laporan polis kerana diekori, Choo Kiong memberitahu tiada laporan polis dibuat berkaitan dakwaan tersebut.
Malah Choo Kiong menolak cadangan Azlina bahawa dakwaan dia diekori adalah ilusinya semata-mata. ADUN Tronoh itu juga memberitahu dia tidak pernah menerima ugutan secara serius melainkan hanya surat layang yang diakuinya perkara biasa sebagai ahli politik.
Menjawab soalan Azlina sama ada PH masih menjadi kerajaan negeri dan memerintah dengan stabil selepas kes rogol melibatkannya, Choo Kiong mengakui perkara itu dan memberitahu tiada apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri dan PH hanya jatuh setahun kemudian.
Sementara itu, saksi pembelaan kedua, Too Choon Looi, 46, yang juga isteri Choo Kiong tidak bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa suaminya telah merogol pembantu rumah berkenaan.
Choon Looi berkata, adalah tidak munasabah untuk suaminya melakukan perbuatan rogol itu kerana pada malam kejadian, dia berada di rumah dan hanya keluar sekitar 10 minit sahaja.
Perbicaraan disambung 31 Mac ini.
Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019. Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN