Ada yang hina, iri hati tetapi syukuri sahaja penghinaan itu... - Azharina Azhar - Utusan Malaysia

Ada yang hina, iri hati tetapi syukuri sahaja penghinaan itu… – Azharina Azhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

23 tahun adalah tempoh yang cukup lama. Namun penyanyi bersuara emas yang saya tampilkan sebagai penghias sampul hadapan Pancaindera kali
ini membuktikan, selepas lebih dua dekad itu, dia kekal bertahan.

Azharina Azhar satu nama yang cukup disegani. Seorang penyanyi yang jiwa seninya menebal. Namanya mewangi. Meskipun hadir pelapis-pelapis
industri silih berganti.

Dalam ramai-ramai penyanyi, dia menonjol. Bakatnya itu mahal. Kemerduaan suaranya juga tersendiri. Tidak sekali-kali dia disamakan dengan mana-mana penyanyi.

Peluang menemu bual anak kelahiran Sabah ini saya gunakan sebaik-baiknya. Hampir satu jam kami berborak. Azharina atau lebih mesra saya panggil kakak ini cukup petah berbicara. Membuatkan perbualan kami berisi.

Saya tanyakan kepadanya, adakah bakatnya sudah cukup dihargai? Iyalah. Ada yang melabelkan wanita ini penyanyi suam-suam kuku. Walhal, terang lagi bersuluh segala pencapaiannya yang bukan biasa-biasa.

Katanya, kalau ada yang beranggapan kehadirannya dalam industri dipandang sepi, itu tidak benar. Dia bersyukur, kerana adanya peminat yang sampai sekarang ini menghargai. Baginya, merekalah kekuatan sejati.

“Dalam industri, kita bertemu ramai orang. Kalau ada yang mengatakan bakat saya tidak dihargai, itu tidak benar. Syukur. Adanya peminat setia dan menyayangi saya. Selama 23 tahun berada dalam industri. Bukan waktu yang singkat.

“Peminat-peminat saya, mereka benar-benar menyokong. Beli tiket untuk menonton persembahan saya. Sokong penjualan album dan single. Panggil saya menyanyi. Jadi, saya amat berterima kasih. Tanpa peminat, siapa saya?” katanya.

Namun dia tidak menafikan, 23 tahun itu jugalah yang mematangkan. Membuatkan dia kenal siapa kawan, siapa lawan. Katanya, orang berhati busuk itu ada di mana-mana. Selepas berada cukup lama dalam industri, dia sudah arif mengenali manusia- manusia berhati hitam.

“Tetapi, tentulah. Ada segelintir manusia, yang menghina, iri hati dan ‘kencing’ kita. Saya ambil yang negatif, tukarkannya
menjadi positif. Syukuri setiap penghinaan dan herdikan orang. Yang mempermainkan dan memperbodohkan saya. Terima sahaja.

“Semua itu mengajar saya menjadi kuat. Lebih pandai dan berpengalaman. Ia menjadikan saya semakin berhati-hati dengan
orang sekeliling. Jangan mudah mempercayai. Kerana bila kepercayaan kita dimainkan, ia menyakitkan,” katanya lagi.

Oleh kerana itu, penyanyi yang mesra disapa Nina ini sentiasa berhati-hati dalam memilih rakan dan kenalan. Baginya, biarlah dia disalah erti. Asalkan tidak lagi menjadi mangsa mereka yang memperguna.

“Saya akui, memilih dengan siapa saya berkawan dan yang bekerja untuk saya. Ada kawan yang kita jumpa di luar. Ada, sekadar di depan pagar. Ada yang kita alu-alukan masuk ke rumah. Dan hanya beberapa sahaja yang boleh sampai ke bilik tidur. Waima ahli keluarga.

“Jadi saya lebih peka. Menjadi lebih matang dan pandai memilih dengan siapa saya berteman,” katanya.

Konsert sulung di Melbourne

TAHUN ini pastinya menjadi lebih bermakna buat Azharina yang bakal mengadakan sebuah konsert solo di Melbourne, Australia sekitar
Mei depan.

Apa yang lebih istimewa lagi adalah apabila konsert tersebut berlangsung ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kata penyanyi berusia 37 tahun ini, dia gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterimanya, lebih-lebih lagi dalam kalangan orang Sabah yang bermastautin di sana.

“Tajuk konsert tersebut adalah Dari Jauh Ku Pohon Maaf kerana saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat Malaysia
di sana.

“Saya difahamkan tiket sudah terjual 85 peratus. Saya bangga dan bersyukur dengan sokongan rakyat Malaysia, khususnya orang Sabah di sana.

“Ini satu penghormatan buat artis yang dilabelkan suam-suam kuku seperti saya. Kerana mungkin sayalah artis Malaysia pertama yang membuat konsert solo di sana,” katanya.

Pada masa sama, Azharina turut berkongsi berita gembira tentang konsert keduanya tahun ini yang akan diadakan di Bandaraya Bersejarah, Melaka.

“Selain itu, boleh saya kongsikan juga tentang konsert saya selama dua malam berturut-turut di Malacca Music Hall sekitar awal Julai nanti. Namun, Ia kini masih dalam perbincangan,” katanya lagi.

Apabila disoal tentang lagu baharu, Azharina berkata buat masa ini dia belum mempunyai perancangan untuk itu. Katanya, dia tidak mahu menjanjikan apa-apa buat masa ini dan hanya menunggu masa dan lagu yang sesuai diberikan kepadanya.

“Saya tidak mahu menjanjikan single mahupun album. Belum masanya. Dengan keadaan kita yang masih berdepan pandemik lagi.

“Saya percaya kepada tuah. Kadang, kita rasa lagu itu tidak akan hits. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Jadi, Ini semua adalah tentang masa dan tuah,” ujarnya.

Tolong faham profesionalisme saya

Dua dekad menghambakan diri dalam dunia nyanyian, Azharina berusaha gigih menjaga kerjayanya supaya berkekalan. Itu terbukti. Saya akui dan melihat sendiri, bagaimana insan seni ini betul-betul memberi yang terbaik walaupun dalam sekecil-kecil perkara.

Namun, ada juga menyalahertikan. Menyifatkannya sebagai seorang yang terlalu cerewet dan teliti ketika bekerja. Mungkin sekali yang berpandangan begitu tidak memahami, betapa susahnya seorang penyanyi mencari kerja untuk sesuap nasi.

Apabila diminta mengulas tentang hal demikian, Azharina tidak melenting. Malah dalam tenang dia menjelaskan. Cerewet bukan perkataan yang menggambarkan cara kerjanya. Sebaliknya, dia teliti dan mengutamakan kesempurnaan.

“Saya seorang perfectionist. Saya harap orang dapat faham profesionalisme saya. Kalau awak tidak faham itu, awak akan menganggap saya cerewet.

“Orang bayar saya mahal. Berpuluh ribu untuk hasil kerja yang baik. Rasanyalah, orang nak ke bayar mahal kalau kita tak profesional?

“Sekali seorang penyanyi itu buat kesilapan, selamanya orang akan ingat. Jadi, kalau ada yang kata saya terlalu cerewet, anggapan mereka salah. Saya takut melakukan kesilapan. Itu menjadikan saya perfectionist. Orang bayar saya mahal. Jadi saya kena berikan yang terbaik,”
terangnya.

Kata Azharina, dia bertuah dan bersyukur kerana ramai yang menghargai kegigihannya dan etika kerjanya. Justeru, dia ingin sentiasa memberikan yang terbaik.

“Saya kena hargai mereka yang sanggup membayar saya untuk menyanyi. Jadi saya akan jaga semuanya, dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Saya mahu terus mencari pendapatan dengan menyanyi. Jangan buat orang panggil kita, kemudian tak panggil lagi.

“Saya bertuah dan bersyukur. Pihak yang selalu panggil saya menyanyi 23 tahun lalu, sampai sekarang masih berbuat demikian. Kenapa?
Profesionalisme. Saya tidak akan berikan mereka selain itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya