korvet untuk TLDM

Ada-Class Corvette untuk TLDM ganti LCS

Replika kapal ketenteraan keluaran syarikat STM Defence yang dipamerkan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pertahanan Turki, STM Defence bersedia menawarkan kapal kelas korvet untuk keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menangani ancaman di kawasan maritim negara.

Timbalan Pengurus Besar STM Defence, Bulent Soydal berkata, tawaran tersebut dalam masa yang sama dapat membantu Malaysia memenuhi keperluan aset TLDM selepas berdepan isu kelewatan perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Malah katanya, STM Defence juga bersedia mengambil alih projek tersebut berdasarkan segala syarat yang ditetapkan Kementerian Pertahanan.

“Ada-Class Corvette amat sesuai untuk TLDM berbanding frigat kelas Istanbul yang begitu besar.

“Namun, segala standard teknologi termasuk sistem persenjataan terpulang kepada kerajaan Malaysia sama ada mahu menggunakan sistem yang sama digunakan Turki atau sistem dari mana-mana negara lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dekat sini, semalam.

Kapal LCS berdepan kelewatan sebelum ini yang berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

Korvet kelas-Ada merupakan salah satu daripada tiga produk dari projek di bawah program pembangunan dan pembinaan kapal perang Turki dengan dilengkapi sistem persenjataan canggih dan bersifat halimunan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut ja­dual ditetapkan.

Dalam pada itu, Bulent Soydal berkata, pihaknya dalam masa yang sama bersedia membina limbungan kapal di negara ini bagi menjayakan projek pembinaan kapal tersebut.

“Kita bukan sekadar menjual dan membina. Tetapi lebih daripada itu termasuk pertukaran tenaga mahir dan teknologi tempatan.

“Malah, kami sama sekali tidak akan meninggalkan pihak yang telah bekerjasama dengan kami dan akan sentiasa memastikan segala penyelenggaran mengikut keperluan serta piawaian,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN