Abdul Hamid boleh lapor polis, SPRM isu kartel

Abdul Hamid boleh lapor polis, SPRM isu kartel

KERATAN laporan Utusan Malaysia kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang isu membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh disiasat oleh agensi itu sendiri tanpa memerlukan siasatan Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan Malaysia (EAIC).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu, di dalam polis sendiri mempunyai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang mana bahagian itu bertanggungjawab menjalankan siasatan tatatertib sekiranya timbul sesuatu isu melibatkan warga mereka.

“Sebagai Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador boleh mengambil tindakan terhadap setiap peringkat pegawai-pegawai kanan polis yang bersekongkol dengan sindiket haram atau kartel.

“Selain itu, maklumat yang beliau ada juga boleh disalurkan kepada SPRM untuk dijalankan siasatan bagi mendapatkan bukti penglibatan pegawai-pegawai polis dengan kartel memandangkan EAIC tidak memperoleh bukti untuk mengesahkannya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai siasatan EAIC berhubung isu kartel sepertimana dibangkitkan Abdul Hamid sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kata Musa, Abdul Hamid juga boleh membuat laporan polis dan menamakan pegawai-pegawai yang terlibat.

“Beliau (Abdul Hamid) boleh memberikan bukti untuk disiasat oleh polis atau SPRM,” jelasnya.

Terdahulu, Abdul Hamid ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau kini ingin menumpukan tanaman sayuran dan ternakan ikan diusahakannya daripada membuat sebarang komen berhubung hasil siasatan yang diumumkan oleh EAIC berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pasukan polis.

Beliau kini sedang sibuk dan gigih mengusahakan tanaman sayur dan ternakan ikan itu bagi membantu meningkatkan bekalan agar pengguna tidak terbeban dengan harga bahan makanan yang tinggi.

Sebelum ini, EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan, kenyataan Abdul Hamid tidak memberi sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaan bahawa wujud kartel dalam pasukan itu.

Ini kerana, Abdul Hamid juga tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu berkenaan dan beliau akui semasa memegang jawatan sebelum ini tidak pernah membangkitkan mengenainya dalam mana mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman.

Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati, beliau selaku KPN ketika itu tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel tersebut sejak 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media.

EAIC juga berpendapat, beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan JIPS Bukit Aman menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel didedahkan kepada pihak media.

Sebelum ini Abdul Hamid Bador, melahirkan rasa kecewa terhadap hasil siasatan yang diumumkan EAIC berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pasukan polis.

Beliau menyifatkan laporan hasil penemuan sistem dalam pasukan polis seperti yang diumumkan adalah cetek dan tidak betul.

Malah, beliau menyifatkan Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak biasa dengan ‘sistem’ polis.

Dalam pada itu EAIC berkata, Abdul Hamid juga tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan.

EAIC juga menegaskan bahawa Abdul Hamid enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya