96.7 peratus daripada 182 AEFI vaksin kanak-kanak tidak serius - Utusan Malaysia

96.7 peratus daripada 182 AEFI vaksin kanak-kanak tidak serius

GELAGAT kanak-kanak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi berumur lima hingga 12 tahun ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 4 Mac lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 182 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19 diterima daripada 1,097,425 dos yang diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sehingga 11 Mac lalu tidak serius.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan, Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, 182 laporan AEFI bersamaan kadar 0.17 laporan bagi setiap 1,000 dos adalah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI iaitu 0.4 bagi setiap 1,000 dos.

“Majoriti laporan AEFI iaitu 96.7 peratus adalah melibatkan kesan tidak serius dan hanya enam laporan serius diterima iaitu tiga kes gangguan saraf muka atau Bell Palsy, satu kes pemantauan asma, satu dan satu kes kematian yang dibawa ke hospital (BID).

“Enam kes itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun menghidap asma, tiga kes Bell Palsy iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan perempuan, masing-masing berusia lapan dan enam tahun manakala satu kanak-kanak perempuan 10 tahun kes ‘Seizures’ dan satu kes BID sedang dalam siasatan,” katanya pada sesi taklimat bersama media berhubung Laporan AEFI Vaksin Covid-19 secara dalam talian.

Turut hadir sebagai moderator, Ketua Seksyen Farmakovigilans, Pusat Komplians dan Kawalan Kualiti, NPRA, Kementerian Kesihatan, Dr. Azuana Ramli.

Roshayati berkata, bagi majoriti laporan AEFI iaitu 96.7 peratus yang tidak serius antara kesan yang paling kerap dilaporkan seperti demam, stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala.

Katanya, kadar pelaporan AEFI dalam kalangan penerima vaksin golongan kanak-kanak lima hingga 11 tahun di Malaysia (0.17 laporan bagi setiap 1,000 dos) juga adalah setara dengan kadar pelaporan AEFI yang diterima bagi golongan sama di negara-negara lain.

“Seperti di Kanada (0.19 laporan bagi setiap 1,000 dos) dan Australia (0.7 laporan bagi setiap 1,000 dos) manakala kadar pelaporan AEFI yang lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak lima hingga 11 tahun berbanding penerima vaksin golongan dewasa turut dilaporkan di negara-negara ini.

“Kesan advers yang paling kerap dilaporkan adalah kesan ringan seperti sakit, bengkak, merah dan kegatalan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya sama ada ibu bapa boleh memilih vaksin Sinovac berbanding Pfizer untuk anak mereka, Roshayati memaklumkan pihaknya menggalakkan pengambilan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kita akan memberi penerangan terlebih dahulu dan sekiranya ibu bapa masih mahukan Sinovac, petugas Kementerian Kesihatan akan memenuhi permintaan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya