9 Wira Oren cari barang kemas dalam timbunan sampah terima penghargaan MBSP - Utusan Malaysia

9 Wira Oren cari barang kemas dalam timbunan sampah terima penghargaan MBSP

SERAMAI sembilan pekerja am yang juga digelar Wira Oren yang membantu seorang wanita mencari barang kemas miliknya di bawah timbunan empat tan sampah bulan lalu menerima penghargaan daripada MBSP hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai sembilan pekerja am Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang juga digelar Wira Oren yang membantu seorang wanita mencari barang kemas miliknya di bawah timbunan empat tan sampah bulan lalu menerima penghargaan hari ini.

Mereka menerima sijil penghargaan daripada Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad pada majlis Perhimpunan Korporat Bandaraya di Menara Bandaraya MBSP, Bandar Perda di sini.

Azhar berkata, inisiatif itu bagi menghargai pengorbanan kakitangan berkenaan yang menunjukkan integriti tinggi semasa menjalankan tugas selain galakan kepada petugas lain.

“Atas dasar amanah dan simpati, mereka berusaha dengan sepenuh tenaga mencari barang kemas itu sebelum dijumpai semula dalam longgokan sampah seberat empat tan dalam tempoh dua jam.

“Saya berharap lebih ramai warga MBSP tidak hanya Wira Oren yang menunjukkan sikap seperti ini. Saya bangga kerana anda semua adalah sebahagian daripada keluarga MBSP,” katanya.

Tambah Azhar, MBSP memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika dalam kalangan warga kerjanya tanpa mengira barisan pembuat dasar, pentadbiran dan pengurusan tertinggi mahupun di peringkat pelaksana. 

Terdahulu, akhbar baru-baru ini melaporkan seorang anggota polis wanita menarik nafas lega apabila berjaya menemukan semula dompet berisi barang kemas miliknya selepas secara tidak sengaja membuangnya bersama lampin pakai buang ke dalam tong sampah di Kuarters Balai Polis Telok Ayer Tawar, Butterworth dekat sini.

Penemuan itu hasil bantuan Wira Oren yang secara sukarela berusaha mencari semula dompet berkenaan di bawah timbunan sampah di Depo Operasi Pembersihan Tasek Gelugor dekat sini selepas menerima aduan wanita terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya