PERMATANG PAUH: Program Kesatria di bawah kendalian Universiti Teknologi Mara (UiTM) masih dianggap sebagai platform signifikan dalam mengangkat martabat dan kejayaan warga universiti itu di sebalik usia penubuhannya yang kini menjangkau lebih empat dekad.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, sejak diperkenalkan pada 1976 susulan demonstrasi dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) termasuk UiTM atau Institut Teknologi Mara (ITM) ketika itu, Kesatria ‘melahirkan’ ramai tokoh hebat dengan disiplin dan kemahiran insaniah yang tinggi.
“Pelaksanaan program ini (Kesatria) dapat memupuk semangat bekerjasama antara satu sama lain, berganding bahu, menimba ilmu pengetahuan dan kelangsungan hidup dalam memberi motivasi kepada diri agar sentiasa cekal dalam menghadapi sesuatu cabaran.
“Saya berharap melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dalam program ini dapat menjadikan para Komander (Kesatria) lebih bersemangat, dinamik, progresif dan positif untuk memajukan diri dalam apa jua bidang yang diceburi baik dalam UiTM mahupun ketika di luar universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Leftenan Muda (Kesatria) UiTM se-Malaysia Siri 17/2022 yang dilaksanakan secara hibrid di Hotel UiTM Cawangan Pulau Pinang di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis pentauliahan itu ialah Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof. Dr. Salmiah Kasolang dan Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Azman Yahaya.
Seramai 889 komander yang merangkumi pelajar aktif Kesatria iaitu penuntut semester lima di seluruh UiTM menerima pemakaian pangkat tertinggi iaitu Leftenan Muda (Kesatria) pada majlis berkenaan.
Jumlah itu tidak termasuk 944 orang komander Kesatria yang aktif (semester satu hingga empat) di semua 34 buah kampus UiTM sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan Komander Kesatria ketika ini seramai 1,833 orang.
Dalam pada itu, Salmiah memberitahu, UiTM Pulau Pinang dan UiTM Kedah sepatutnya menjadi tuan rumah bersama untuk program berkenaan namun terpaksa diubah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk berkaitan kesihatan dan keselamatan.
Bagaimanapun katanya, program tersebut tetap berjalan dengan baik meskipun hanya 17 penerima hadir untuk sesi pentauliahan itu secara fizikal di sini dengan selebihnya menerima watikah pelantikan secara maya.
“Saya yakin anda semua (Komander Kesatria) mampu untuk merealisasikan aspirasi UiTM bagi menjuarai pembangunan bumiputera profesional yang tangkas menerusi pembangunan kurikulum keterhadapan selain penyelidikan berimpak tinggi.
“Ini sekali gus menjadikan IPT ini salah sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang sains, teknologi kemanusiaan dan keusahawanan,” katanya. – UTUSAN