LAZIMNYA, sesebuah artis berkumpulan amat sukar untuk kekal meneruskan perjuangan mereka sebagai sebuah pasukan dalam industri.
Jika tidak kerana ada pergolakan dek kurangnya persefahaman, perpecahan akan menjadi titik terakhir yang menamatkan nama kumpulan itu meski pernah muncul menghangatkan telinga pendengar dan peminat menerusi lagu-lagu yang hits.
Ini bukan satu cerita kosong. Ini adalah apa yang pernah berlaku dalam industri yang menyebabkan tak banyak yang mampu bertahan.
Namun, pujian harus diberikan kepada kumpulan 6ixth Sense (6S) kerana sehingga kini, diam tak diam, sudah menjangkau 17 tahun kebersamaan mereka sebagai sebuah kumpulan yang tidak pernah kering dengan ilham muzik.
Tidak cuma itu, angka 17 tahun juga adalah satu signifikasi kepada usia persahabatan mereka yang menyaksikan banyak suka dan duka mereka bergerak di bawah payung jenama 6ixth Sense.
“Kalau nak cakap pasal persahabatan kami ini, memang benar, 17 tahun itu adalah satu tempoh yang penuh dengan jalan berliku. Tapi, bagi kami,asalkan kami saling mengingati bahawa tiada siapa yang sempurna.
“Kami pun manusia juga, masing-masing ada buat silap tetapi kami akan terus belajar memperbaiki kesilapan diri. Itu yang berlaku. Alhamdulillah, sampai sekarang kami dapat kekal bersama sebagai sebuah kumpulan,” kata Adi sebagai wakil kumpulan.
Tambah Adi lagi, dia juga percaya sikap tidak sefahaman itu akan ada sahaja dalam kalangan mereka namun itu tidak bermakna mereka harus putus sahabat.
“Sebenarnya, kita masing-masing tahu baju kita warna apa. Walaupun ada yang tak bersama kita dalam sebuah kumpulan tapi itu tak bermakna putus sahabat. Kita masih akan terus berhubungan.
“Nak bergerak untuk sebuah kumpulan itu senang. Tapi nak kekalkan sebagai sebuah kumpulan itu memang kami sendiri pun kena berserah Yang Maha Esa.
“Dia penentu segala-galanya. Cuma dari segi misi dan visi, kita boleh jelaskan dan akan sentiasa mencipta untuk sebuah perjalanan yang lebih baik, Insya-Allah,”katanya.
LAGU BARU
Dalam pada itu, berkongsi mengenai penghasilan lagu baharu mereka berjudul Tremendous, kata Adi, ia juga menjadi signifikasi kepada hubungan persahabatan mereka yang diabadikan dalam lagu tersebut.
Malah, kerana lama dikatakan tidak muncul dengan karya yang baru, Tremendous juga menyaksikan kumpulan ini umpama baru keluar daripada ‘pertapaan’.
“Kami tak nafikan, lama juga duduk ‘bertapa’, dalam erti kata lain, sudah lama tak muncul dengan lagu baru. Ini kerana kami mahu mempersiapkan karya yang mungkin boleh dikatakan agak lain daripada single 6ixth Sense yang sebelum ini.
“Selain itu, ia juga kerana banyak halangan yang berlaku semasa dalam proses pembikinan antara lain dengan keluarnya Gji. Dalam masa yang begitu rapuh saat itu kami mencari pengganti Gji dengan mengadakan audisi yang memakan masa agak panjang juga.
“Setelah mendapat Hary sebagai pengganti Gji, baru kami menghabiskan sesi rakaman dan Alhamdulillah berjalan dengan cepat,” katanya.
Dalam pada itu, Adi mengulas lanjut mengenai Tremendous yang menurutnya telah menjalani sesi pre-produksi pada hujung tahun 2019 iaitu semasa sesi jamming dan memprogram.
“Kemudian, kami rancang untuk mulakan rakaman dan keluarkan lagu pada tahun 2020. Masa itu, kami masing-masing pun rindu nak berada di pentas lagu semula. Lama gila tak buat persembahan.
“Tiba-tiba, kita semua diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi sebab itulah proses itu jadi perlahan dan tertangguh. Tak dapat nak rentas daerah dan ada prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.
“Tapi kami harap, semua peminat dan pendengar dapat menerima kemunculan single baru ini dan dapat mengubati kerinduan pada karya-karya kami,” katanya.