LANGKAWI: Kementerian Pendidikan akan mempercepat proses mengisi sebanyak 5,477 kekosongan jawatan guru yang perlu diisi di seluruh negara.
Menteri Kanannya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementeriannya masih dalam meneliti beberapa komponen yang memerlukan perincian bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
“Kita sedang ikhtiarkan bersama dengan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) supaya diisi segera tetapi ada beberapa kesukaran, beberapa komponen yang kita sedang teliti.
“Kita juga sedang usahakan supaya yang mana kita dapat selesaikan dahulu, kita selesaikan dahulu,” katanya kepada sidang media selepas Program Penyerahan Peranti Pendidikan Digital AEON Sayap Bagimu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelibang, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, sebelum ini, terdapat sebanyak 18,702 kekosongan jawatan guru dan sebanyak 13,225 kekosongan tersebut telah diisi sejak Disember lalu.
Menurutnya, pengambilan secara one-off itu memberi tumpuan kepada calon yang mempunyai ikhtisas pendidikan, sebelum dibuka kepada calon lain.
Katanya, selepas graduan ikhtisas pendidikan tersebut mendapat penempatan, kementeriannya akan membuka pengambilan kepada graduan yang tiada ikhtisas pendidikan.
“Dalam keadaan tertentu, bekalan khusus untuk mata pelajaran tertentu ini yang ada ikhtisas ini, bekalannya tidak dapat dipenuhi atau tidak dapat memenuhi keperluan.
“Jadi kita nak selesaikan yang ada ikhtisas pendidikan ini terlebih dahulu, teliti satu persatu. Kemudian kita akan lihat yang mana yang tidak dapat diisi ini untuk kita ambil mereka yang tidak ada ikhtisas pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN