SINTOK: Seramai 4,669 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) kembali ke kampus secara berperingkat bermula 24 hingga 26 Mac lalu bagi meneruskan pengajian semester kedua sesi 2021/2022 sekali gus mengubat kerinduan menghadiri kuliah secara bersemuka.
Seorang pelajar semester empat Sarjana Muda Undang-Undang, Ainnur Batrisyia Aminurrashid berkata, saat kembalinya ke kampus sangat dinanti-nantikan selepas hampir dua tahun perlu belajar secara maya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19.
Katanya, dia sudah tidak sabar untuk menghadiri kuliah secara bersemuka selain teruja kembali menikmati detik indah bergelar pelajar dengan berada di dalam kampus.
“Sangat berbeza kehidupan di kampus berbanding belajar secara dalam talian di rumah,” katanya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Seorang pelajar semester enam Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Anis Ammilia Ahmad Jafri pula berkata, dia memilih untuk pulang ke kampus meneruskan pengajian yang hanya berbaki tiga semester sebelum tamat pengajian dijangka pada 2023.
Katanya, proses pembelajaran di rumah berbeza berbanding di kampus khususnya dari aspek persekitaran dan gangguan ketika kelas secara maya di rumah.
“Pembahagian tugas ketika belajar di rumah juga agak berbeza berbanding belajar di kampus kerana ia menimbulkan sedikit masalah berkaitan pembahagian masa untuk fokus belajar dan fokus bersama keluarga.
“Justeru, saya memilih untuk berada di kampus setelah Kementerian Pengajian Tinggi memberikan kebenaran pelajar pulang ke kampus secara fizikal bermula Mac,” katanya.
Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, seramai 4,669 pelajar telah kembali ke kampus secara berperingkat bermula 24 hingga 26 Mac lalu mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.
Menurutnya, proses kemasukan pelajar sepanjang tiga hari tersebut berjalan dengan lancar dan mematuhi semua aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.
“Saya berharap semua pelajar yang telah berada di kampus akan terus mematuhi arahan dan SOP yang dikeluarkan daripada semasa ke semasa demi menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing,” katanya. – UTUSAN