460 daripada 607 kematian tiada kaitan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

460 daripada 607 kematian tiada kaitan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 460 daripada 607 kematian penerima vaksin Covid-19 tidak mempunyai hubung kait secara langsung dengan vaksin yang diterima melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, keputusan itu susulan selesai penyiasatan dan penilaian oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK) manakala bakinya, 147 laporan masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai JFK.

Katanya, jumlah kematian itu adalah antara jumlah keseluruhan laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang diterima melibatkan 1,794 laporan bersamaan kadar 26 laporan bagi setiap sejuta dos yang dikategorikan sebagai AEFI serius berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Semua laporan yang AEFI serius yang diterima ini memerlukan penyiasatan lengkap dan penilaian terperinci sebelum hubung kait kesan yang dilaporkan dan vaksin yang diterima dapat ditentukan berdasarkan WHO merujuk kepada kesan yang menyebabkan kemasukan ke dalam wad, atau pemanjangan tempoh di wad, membahayakan nyawa, menyebabkan kehilangan upaya yang signifikan atau memerlukan intervensi untuk mencegah kerosakan kekal tubuh, menyebabkan kecacatan semasa lahir, atau disyaki menyebabkan kematian.

“Jumlah AEFI serius adalah sebahagian hasil penilaian ke atas laporan diterima yang menunjukkan 93 peratus atau 24,039 daripada AEFI dilaporkan adalah bagi kes-kes tidak serius di mana kesan advers paling kerap dilaporkan penerima vaksin adalah mengalami demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan. Semua kesan ini biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roshayati berkata, secara keseluruhannya, Sistem Pelaporan AEFI NPRA menerima sejumlah 25,833 laporan AEFI vaksin Covid-19 yang perlu dinilai, termasuk 1,448 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 207 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Kadar pelaporan AEFI melalui Sistem AEFI NPRA ini secara keseluruhannya direkodkan pada 378 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Sejak PICK telah dimulakan secara rasminya pada 24 Februari 2021 sehingga Jumaat lalu, sebanyak 68,394,683 dos vaksin Covid-19 telah diberikan terdiri daripada jenama Comirnaty (Pfizer), CoronaVac (Sinovac), Vaxzevria (AstraZeneca), Convidecia (CanSino) dan COVILO (Sinopharm),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya