45 graduan CBTM program kerjasama UMP, AKEPT tingkat kompetensi bakat kepimpinan - Utusan Malaysia

45 graduan CBTM program kerjasama UMP, AKEPT tingkat kompetensi bakat kepimpinan

YUSERRIE Zainuddin (depan tengah) bersama graduan diploma CBTM dalam sesi ketujuh Majlis Konvokesyen Ke-15 UMP di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 45 graduan program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di bawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menerima diploma masing-masing yang disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin bersempena Majlis Konvokesyen UMP ke-15 baru-baru ini.

Program dilaksanakan melalui Pusat PSH, UMP Advanced yang berjaya melahirkan graduan dalam bidang Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM).

Menurut Yuserrie, pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat itu selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan.

“Agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi selari dengan hasrat AKEPT yang mana kompetensi menjadi tonggak dalam membudayakan pengurusan bakat yang berwibawa di universiti awam (UA),” katanya.

Beliau hadir menyampaikan diploma dan ijazah kepada graduan UMP Advanced yang menyaksikan seramai 958 orang graduan terdiri daripada 510 graduan Master Eksekutif dan 448 graduan Bacelor Eksekutif dan Diploma Profesional pada sesi keenam dan ketujuh Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15.

Bagi Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mazula Sabudin yang juga hadir menerima diploma CBTM, pendedahan kepada ilmu sumber manusia dengan 10 modul yang ditetapkan mampu melahirkan pegawai yang lebih kompeten dalam pengurusan bakat yang lebih berstruktur.

Jelasnya, usaha itu akan memperkasakan pengurusan bakat kepimpinan berteraskan kompetensi dengan lebih holistik dan objektif bagi mencapai kelestarian pengurusan bakat kepimpinan.

“Pembelajaran teradun ini merupakan satu kaedah yang menggabungkan pendekatan pembelajaran bersemuka dan secara dalam talian,” katanya.

Beliau mengharapkan agar usaha AKEPT-UMP ini berterusan bagi merencanakan agenda kelangsungan kepimpinan universiti awam yang berwibawa untuk kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, Prof. Dr. Rohaya Mohd. Nor yang merupakan Pengarah Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, program itu sangat membantu dalam mengaplikasikan pengetahuan mengatur produktiviti gerak kerja harian.

Beliau komited ketika menghadiri kelas dan mengikuti semua modul yang disediakan sehingga berjaya memperoleh CGPA 3.97 yang merupakan pencapaian yang sangat berharga buat dirinya.

Bagi Timbalan Pendaftar Kanan, Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Rafizi Rahmat yang juga Timbalan Presiden 1 di Institut Pengurusan Sumber Manusia berkata, pembelajaran itu suatu pengalaman baharu yang sangat memberi manfaat secara spesifik kepada tugas dan tanggungjawabnya di UiTM.

Katanya, program tersebut banyak memberi pendedahan dan maklumat yang terkini dalam pengurusan bakat sumber manusia serta juga meningkatkan jaringan kerja dengan pengurus bakat di universiti awam yang lain.

Begitu juga dengan graduan CBTM yang merupakan Presiden Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti), Raja Shah Erman Raja Arifin daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, CBTM merupakan platform terbaik hasil idea asli dan kreatif AKEPT dengan iltizam padu dari UMP berupaya meningkatkan kompetensi pengurus bakat universiti awam selari dengan pendekatan sumber manusia terkini.

“Ini adalah kejayaan dalam melonjakkan dan memperkasakan bakat pentadbir awam yang memberi pendedahan serta maklumat yang terkini dalam pengurusan bakat sumber manusia. Selain itu, dapat meningkatkan jaringan kerjasama antara institusi awam di Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Datuk Mohd. Sharil Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Prof. Madya Dr. Mohd. Rusllim Mohamed. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya