327 runtuhan cerun

327 runtuhan cerun dalam proses pembaikan 

FADILAH Yusof meninjau kerja-kerja pembaikan cerun di Jalan Gunung Jerai, Gurun, Jerai, Kedah hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERAI: Kementerian Kerja Raya mengenal pasti 327 kawasan runtuhan cerun yang kritikal di seluruh negara dan perlu dilakukan pembaikan segera.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof,  jumlah perbelanjaan untuk kerja-kerja pembaikan kawasan runtuhan cerun itu berjumlah RM400 juta.

Menurutnya, pada masa ini, sebanyak 121 daripada 327 kawasan runtuhan cerun itu sedang dalam proses pembaikan.

Katanya, antara lokasi paling kritikal yang dalam proses pembaikan ialah Pahang di Cameron Highland, Lipis dan Bentong, Perak (Simpang Pulai) dan Negeri Sembilan (Kuala Klawang dan Genting Peras). 

“Tempoh masa kerja-kerja pembaikan runtuhan cerun ini mengikut skala keseriusan runtuhan kerana ada yang besar dan sederhana, manakala runtuhan berskala kecil sudah siap dibaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi pembaikan cerun di Jalan Gunung Jerai, Gurun dekat sini hari ini.

Mengenai pembaikan cerun di Gunung Jerai itu, kata beliau, ia dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.

Jelasnya, kerja pembaikan tersebut agak kompleks kerana bukan sekadar baiki cerun tetapi sebahagiannya dipasang jaring untuk lindungi jalan.

“Terdapat tujuh lokasi runtuhan cerun di Gunung Jerai dan sebahagian besar daripadanya sudah siap dibaiki.

“Lokasi pembaikan cerun juga dilakukan di Jalan Kuala Kedah, Yan, Singkir dan Kampung Badong,” ujarnya

Beliau memberitahu, kos keseluruhan pembaikan kawasan cerun tersebut adalah RM15 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya