PASIR GUDANG: Seorang ahli perniagaan, M. Kandapan menghias bumbung rumah dan keretanya dengan memasang lebih 3,000 bendera Johor dan pelekat bagi meraikan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor hari ini.
Kandapan, 59, berkata, usaha itu bagi menterjemahkan rasa hormat dan sayang terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berjiwa rakyat.
“Saya juga berharap usaha saya ini akan dapat membawa mesej positif bahawa setiap rakyat negeri ini tanpa mengira kaum perlu hidup secara bersatu dan harmoni,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seri Alam, hari ini.
Tidak cukup dengan menghias rumah dan kenderaan, Kandapan bersama-sama rakan berkonvoi melibatkan enam pacuan empat roda serta kereta berhias dengan pelekat imej Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
“Kita turut mengedar 700 pek makanan kepada gelandangan dan golongan daif, bendera mini Johor serta mengadakan upacara sembahyang di beberapa kuil di sekitar bandar raya ini bagi memeriahkan sambutan. Program di bawah Persatuan Kebajikan Sinar Kembara Kandavel Johor Bahru ini pada awal dirancang selama tiga hari namun disebabkan faktor kesihatan setelah saya diserang strok, ia dipendekkan kepada sehari sahaja,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM15,000 bagi menjayakan program tersebut termasuk hasil tajaan beberapa syarikat yang tampil memberi sokongan.
Jelasnya, nilai itu tidak begitu besar jika dibandingkan dengan jasa Tuanku dan keluarga baginda yang tidak pernah jemu memikirkan dan mengambil tahu permasalahan rakyat.
Sementara itu, Setiausaha persatuan tersebut, B. Geetha, berkata, konvoi disertai seramai 20 peserta sejauh 50 kilometer itu dimulakan di Bandar Seri Alam, Masai menuju ke Pandan, pusat bandar raya dan Tebrau selain turut disertai peserta dari Kota Tinggi dan orang kurang upaya (OKU), R. Kabilan, 26, mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun berkerusi roda, Kabilan menunjukkan minat dan kesungguhan bagi menyertai konvoi berkenaan bersama ibu bapanya bagi memupuk semangat kesetiaan kepada raja dalam kalangan golongan muda. Generasi muda perlu menghayati prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara supaya ia dapat diterapkan secara menyeluruh sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat,” katanya.
Sementara itu, peserta, A. Balakrishnan, 44, berkata, rakyat akan mampu hidup aman dan makmur sekiranya rakyat mengetahui sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Kita perlu menghormati institusi diraja dan bagi rakyat Johor, kami menyanjung tinggi Sultan dan berharap baginda sentiasa dirahmati tuhan,” katanya. – UTUSAN