PORT DICKSON: Seramai 2,500 pegawai dan anggota telah menjayakan sambutan Hari Tentera Darat Ke-89 tahun ini yang diadakan di Kem Segenting, di sini pagi tadi.
Bertemakan ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ sambutan tahun ini mempertontonkan demonstrasi dinamik yang mempamerkan keupayaan aset dan kompetensi Tentera Darat Malaysia.
Antara aset yang terlibat dalam segmen demonstrasi dinamik ialah sistem pelancar roket berganda Astros, kereta kebal PT91M Pendekar, kenderaan perisai 8×8 Gempita, kenderaan kerperisai berantai Adnan dan kenderaan berperisai 4×4 Lipan Bara.
Turut ditampilkan, meriam 105mm LG 1 MK III, helikopter Loh A109 Agusta, kenderaan Supacat, kenderaan pengangkut senjata Vamtac serta bot tempur.
Persembahan kemudian disusuli dengan perbarisan tempur yang melibatkan lapan detasmen yang terdiri daripada detasemen tempur, 10 Briged (Para), 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Bantuan Tempur dan Kontinjen Wanita.
Perbarisan turut menyaksikan terbang lintas tiga buah pesawat Helikopter Loh A109 Agusta yang membawa bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat dan Jalur Gemilang.
Turut mengiringi perbarisan ialah pancaragam gabungan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di dalam Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dan pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Brassband Wanita dari Rejimen Semboyan Diraja (RSD).
Sementara itu, sambutan yang turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain tersebut dijalankan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton dalam kalangan masyarakat setempat atau luar.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Zamrose berkata, demonstrasi dinamik yang dipertontonkan tersebut merupakan manifestasi Tentera Darat kepada kerajaan dan rakyat di mana Tentera Darat sentiasa bersedia dan berupaya melaksanakan apa sahaja tugasans serta misi yang diamanahkan. – UTUSAN