PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 28,298 kes positif berbanding kelmarin, 26,534 kes sekali gus diatasi 33,009 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan 374 kes berbanding kelmarin, 376 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan kepada 233 kes berbanding kelmarin, 222 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan enam kluster berbanding kelmarin, empat kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,893 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 346 kluster berbanding kelmarin, 366 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,547 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 214 kes daripada 28,298 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 28,084 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 214 kes kategori tiga, empat dan lima, 56 kes atau 26.17 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 101 kes atau 47.20 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 57 kes atau 26.64 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 119 kes atau 55.61 peratus berumur 60 tahun dan ke atas; 82 kes atau 38.32 peratus mempunyai komorbid dan dua kes atau 0.93 peratus ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 29 kes berbanding semalam, 95 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 34,099 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 29 daripada 105 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,128 kes. – UTUSAN