IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga jualan makanan di bazar Ramadan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pemantauan secara menyeluruh akan dilakukan di semua bazar Ramadan.
Menurutnya, harga barang dan makanan perlu dikawal sebaiknya untuk mengelak pengguna terbeban terutama yang terkesan akibat Covid-19.
“Lebih 200 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga akan digerakkan di seluruh negeri bagi tujuan pemantauan ini. Kita harap kenaikan harga barangan makanan tidak berlaku dan dalam hal ini semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Karnival Hari Pengguna Kebangsaan Negeri Perak di pasar raya besar Mydin Meru Raya di sini.
Turut hadir Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman.
Menurut Abdul Yunus, dari aspek peniaga, mereka diminta tidak mengambil kesempatan dalam suasana sekarang dengan menaikkan harga jualan.
“Kita minta mereka sentiasa berwaspada dengan memastikan barang-barang dijual pada harga berpatutan. Setakat ini tiada aduan rasmi dilaporkan berkaitan kenaikan harga barang di Perak. Kebanyakan aduan atau rungutan pengguna berkaitan kenaikan harga barang dibuat melalui media sosial tanpa membuat aduan rasmi pada pihak KPDNHEP.
“Pengguna diminta membuat aduan secara rasmi menggunakan platform yang betul, jika tiada aduan rasmi, pihak KPDNHEP sukar untuk membuat tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Katanya, KPDNHEP Perak menerima sebanyak 226 aduan berkaitan pengguna dari 1 Januari 2022 sehingga 13 Mac lalu dan aduan tertinggi adalah 82 aduan transaksi atas talian, 58 aduan berkaitan harga dan 33 aduan bagi perkhidmatan mengelirukan. – UTUSAN










