KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengelak daripada dikenakan tindakan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy yang sepatutnya bersambung hari ini ditangguhkan ke penghujung bulan ini.
Ia berikutan peguam bela Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih dalam perjalanan pulang dari luar negara dan dijangka tiba esok. Peguam terbabit juga perlu menjalani kuarantin lima hari.
Menurut laporan media sebelum ini, Muhammad Shafee ke United Kingdom untuk bertemu dengan Queen’s Council yang dikatakan mewakili Najib dalam rayuan akhirnya membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan.
Penangguhan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam ketika dihubungi selepas sebutan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas.
Peguam bela, Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda ketika dihubungi turut mengesahkan perkara sama. Perbicaraan tersebut disambung semula pada 28 Mac ini.
Pada prosiding terakhir perbicaraan itu, Mahkamah Tinggi di sini mendengar keterangan bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh yang juga merupakan saksi pendakwaan ke-13.
Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan itu didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – UTUSAN