PETALING JAYA: Sebanyak 177 pengunjung dan penjaga premis hiburan di Jalan Metro Pudu, dekat sini dikenakan kompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat, awal pagi ini.
Serbuan pukul 1.30 pagi itu dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengenakan kompaun RM1,000 seorang terhadap 125 lelaki dan 52 wanita dan kesemua mereka adalah warga tempatan.
Menurutnya, tindakan diambil di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021,
“Serbuan juga menahan seorang lelaki yang merupakan penjaga premis kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan sah.
“Turut dirampas dua pembesar suara, dua televisyen, mikrofon, Amplifire, mixer, empat botol minuman keras, sekeping resit perniagaan dan wang tunai RM180,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.
Beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memutuskan rantaian wabak Covid 19.
Justeru, Polis Wangsa Maju memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan jenayah dan pelanggaran undang-undang melalui Hotline IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- UTUSAN