PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 26,534 kes positif berbanding kelmarin, 22,030 kes sekali gus diatasi 31,234 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan 376 kes berbanding kelmarin, 388 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan kepada 222 kes berbanding kelmarin, 215 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan empat kluster berbanding kelmarin, dua kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,887 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 366 kluster berbanding kelmarin, 377 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,521 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 176 kes daripada 26,534 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 26,358 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 176 kes kategori tiga, empat dan lima, 45 kes atau 25.57 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;91 kes atau 51.70 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak; 40 kes atau 22.73 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 95 kes atau 53.98 peratus berumur 60 tahun dan ke atas dan 61 kes atau 34.66 peratus mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan sedikit meningkat sebanyak 95 kes berbanding semalam, 92 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,994 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 23 daripada 95 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,099 kes. – UTUSAN