15 peratus bekas penagih dadah kembali menagih - Utusan Malaysia

15 peratus bekas penagih dadah kembali menagih

MUHAMAD SADE MOHAMAD AMIN bertemu peniaga bagi berkongsi maklumat mengenai AADK di pekan Simpang Empat, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 10 hingga 15 peratus pelatih yang mendapat rawatan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) kembali menagih dalam tempoh tertentu setelah keluar daripada pusat pemulihan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, berdasarkan data, kadar peratusan bekas penagih yang kekal tidak mengambil dadah menurun sedikit kepada 75 peratus apabila mereka kembali kepada masyarakat.

Namun, menurut beliau, kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada mereka terjebak semula dengan masalah penyalahgunaan dadah selepas masuk ke dalam komuniti.

“Mengikut Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang ada sekarang ini, kita akan mengawasi mereka yang telah menjalani pemulihan sehingga tiga tahun apabila berada di luar,” katanya ketika ditemui pada program walkabout bersama komuniti Simpang Empat di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli.

Kata Muhamad Sade, peranan komuniti dan kerjasama masyarakat itu sendiri perlu untuk membantu golongan berkenaan.

Katanya, selain latihan pemulihan dari segi spiritual, psiko sosial dan pelbagai kaedah rawatan serta penggunaan terapi gantian metadon adalah membantu bagi mengurangkan ketagihan dadah.

“Buat masa ini, dadah yang banyak diambil penagih adalah jenis stimulan, iaitu dadah sintetik seperti amfetamin yang mempunyai kesan kepada pemikiran atau psiko aktif berbanding sebelum ini dadah jenis opiad atau tradisional.

“Kita harap kerjasama AADK dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia boleh mengekang daripada segi pengedaran.

“Saya yakin kerjasama kita dengan sokongan komuniti pada hari ini akan mengukuhkan lagi usaha kerajaan membanteras penagihan dadah di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya