120 lokasi panas 'kaki ponteng puasa' di Pulau Pinang dipantau - Utusan Malaysia

120 lokasi panas ‘kaki ponteng puasa’ di Pulau Pinang dipantau

AHMAD ZAKIYUDDIN ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menjalankan pemantauan di 120 lokasi panas yang dipercayai menjadi tumpuan individu ponteng puasa di negeri ini sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, pemantauan itu akan dijalankan menerusi operasi bersepadu yang dibantu agensi-agensi seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Jabatan Kesihatan negeri serta Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP.

“Operasi ini turut memberi tumpuan kepada aspek kebersihan premis serta pengendalian makanan, pematuhan terhadap syarat-syarat permohonan lesen dan lain-lain yang berkaitan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi bersepadu bulan Ramadan itu merupakan manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam negeri ini untuk mengajak umat Islam bersama-sama memuliakan bulan suci yang bakal disambut beberapa hari sahaja lagi.

“Semoga dengan operasi bersepadu ini mampu menimbulkan kesedaran buat umat Islam negeri ini untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah yang terbaik bagi kita semua,” katanya.

Tambah Ahmad Zakiyuddin, objektif operasi bersepadu itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam melalui ‘Kempen Hormati Ramadan’ di Pulau Pinang.

“Di samping itu, ia bertujuan membanteras tindakan tidak menghormati bulan Ramadan seperti sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syarie,” katanya.

Jelas beliau, individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

“Jika disabitkan mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya