GEORGETOWN: Seramai 116 orang iaitu kira-kira sembilan peratus anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut disahkan positif Covid-19 tahap satu dan dua dalam tempoh seminggu lalu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang berkata, mereka sudah menerima rawatan dan kini menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.
“Selain 116 anggota itu, terdapat juga ahli keluarga mereka yang turut dijangkiti Covid-19 dan jumlah keseluruhan anggota termasuk keluarga yang positif adalah kira-kira 250 orang.
“Keseluruhan jumlah anggota di IPD adalah kira-kira 1,600 dan jangkitan berkenaan tidak menyebabkan operasi di IPD terganggu, sehingga kini operasi di sini berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di IPD Timur Laut, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini anggota dan ahli keluarga mereka yang positif tidak perlu mendapatkan rawatan di hospital.
“Kita tidak dapat memastikan dari mana anggota mendapat jangkitan tersebut kerana ada di antara mereka yang didapati demam dan batuk.
“Selepas mereka membuat ujian saringan, mereka didapati positif Covid-19 dan langkah sewajarnya telah diambil untuk mengelakkan jangkitan daripada merebak,” katanya.
Tambahnya, antara langkah yang diambil adalah sanitasi di kawasan IPD Timur Laut dan memastikan penjarakan fizikal anggota ketika menjalankan tugas. – UTUSAN