11 tahun berjuang demi segulung ijazah, Juliza kini bergelar graduan

11 tahun berjuang demi segulung ijazah, Juliza kini bergelar graduan

JULIZA Ameruddin menerima ijazah yang disampaikan oleh Abi Musa Asaari Mohamed Nor dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15 bagi sesi ketiga di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perjuangan 11 tahun untuk menggenggam segulung ijazah dengan bergelut pelbagai dugaan masalah kesihatan bukan penghalang kejayaan buat seorang graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini. 

Ia sebaliknya dibuktikan oleh Juliza Ameruddin, 36 yang hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15 dalam keadaan bergantung tong gas untuk bantuan pernafasan.

Ujar Juliza, kini penyakit asmanya semakin kronik sehingga menyebabkan dia sentiasa bergantung dengan tong gas oksigen bagi pernafasan.

Dia mengidap penyakit Brittle Asthma sejak 2007, namun pada 2010 penyakitnya semakin kronik sehingga diintubasi sebanyak 115 kali di hospital. 

 Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) itu berkata, dia yang mendaftar di UMP pada 2009 pada awalnya sihat, tetapi di tahun ketiga pengajian penyakitnya semakin kronik mengakibatkan lumpuh dan menerima kad orang kurang upaya (OKU). 

 “Sejak kejadian itu saya kerap menangguhkan pengajian. Semangat untuk belajar tidak pernah padam dan saya amat terharu UMP memberi peluang untuk menyambung pengajian setelah menangguh pengajian selama enam tahun kerana masalah kesihatan,” katanya di sini hari ini. 

 Menurut Juliza yang merupakan anak perempuan sulung daripada lima beradik ini, di sebalik kejayaan yang dikecapi pada hari ini, semestinya sokongan dan dorongan dari orang sekeliling yang banyak membantu terutama pihak UMP, keluarga dan rakan-rakan.  

 “Sepanjang pengajian, UMP banyak membantu dari segi kewangan, logistik untuk kelas, memberi peluang ruang perniagaan dalam kampus dan lain-lain. 

 “Selain itu juga, pihak fakulti juga banyak membantu sepanjang pengajian saya dengan menyediakan  kelas secara dalam talian. Selepas tamat pengajian pada Januari 2021, saya telah ditawarkan berkerja di UMP Holdings sebagai Pembantu Strategik Korporat, namun selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menumpukan pada bidang perniagaan makanan yang diusahakan,” katanya.

 Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa membantunya sehingga berjaya.

 Anak jati Kuala Lumpur ini turut mengimbas kenangan sewaktu berada di hospital yang mana pernah suatu ketika beliau sangat kritikal seolah tiada harapan untuk sembuh dan doktor mengatakan keadaannya kronik. 

 “Namun, berkat kesabaran dan doa semua, alhamdulillah masih diberi peluang untuk bernafas sehingga kini. Sumber inspirasi dan kekuatan saya sudah tentu kedua ibu bapa, Ameruddin Zakaria dan ibu, Nuraini Mat Piah yang banyak berkorban dalam membesarkan saya sehingga berjaya,” ujarnya.

 Juliza berharap perjuangannya ini dapat memberikan inspirasi kepada adik-adik pelajar di luar sana bahawa sakit bukan halangan untuk berjaya.

Sementara itu, Nuraini bersyukur ke hadrat Allah SWT dan gembira atas kejayaan anaknya pada hari ini.

“Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong apa jua minat Juliza dan sering menasihati agar kesihatan perlu sentiasa dijaga,” katanya.

Juliza menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro Canselor UMP, Tan Sri Dr. Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15 bagi sesi ketiga hari ini.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya