PENDANG: Sekurang-kurangnya 11 buah rumah di mukim Padang Kerbau dekat sini rosak dalam kejadian ribut semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, sebanyak lima buah rumah penduduk terlibat terletak di Felda Sungai Tiang dan enam lagi rumah di Kampung Titi Akar.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kebanyakan rumah tersebut nengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kencang.
Menururnya, hujan juga melanda kira-kira dua jam di kawasan kejadian ribut itu.
“Semua rumah penduduk itu mengalami kerosakan di bahagian bumbung apabila diterbangkan angin kencang dalam kejadian tersebut,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ribut itu.
Selain itu, menurutnya, terdapat lima kes kejadian pokok tumbang sehingga menghalang laluan.
“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama agensi lain serta penduduk kampung melakukan kerja-kerja mengalih dan membersihkan kawasan pokok tumbang,” ujarnya. – UTUSAN