PETALING JAYA: Sebanyak 1,092 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital yang melibatkan pesakit bagi kategori satu hingga lima, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti membolehkan terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori satu hingga lima yang baharu didiagnosa pada setiap hari.
Katanya, pada masa sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pada 25 Mac, sebanyak 1,092 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital dengan kategori 3,4 dan 5 adalah 464 kes (42.5 peratus), manakala kategori 1 dan 2 adalah 628 kes (57.5 peratus),” ujarnya.
Selain itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 22,324 kes sembuh direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan adalah 3,819,299 kes atau 93.1 peratus.
Selain itu, katanya, sebanyak 21,839 kes baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 4,101,081.
“Kes import melibatkan 287 kes dengan 271 warganegara (94.4 peratus); 16 bukan warganegara (5.6 peratus) dan kes tempatan merangkumi 21,552 kes dengan 20,771 warganegara (96.4 peratus); 781 bukan warganegara (3.6 peratus).
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 291 kes (142 kes disahkan Covid-19; 149 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan); dan kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 188 kes (95 kes disahkan Covid-19; 93 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” ujarnya.
Menurut Noor Hisham, daripada 21,839 kes harian yang dilaporkan semalam, 9,401 kes atau 43.05 peratus adalah kategori 1, 12,299 kes atau 56.3 peratus bagi kategori 2.
“Selain itu, sebanyak 60 kes atau 0.28 peratus bagi kategori 3, 42 kes atau 0.19 peratus bagi kategori 4 dan 37 kes atau 0.17 peratus bagi kategori 5.
“Daripada 139 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam, 32 kes atau 23.02 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 69 kes (49.64%) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.
“38 kes atau 27.34 peratus pula telah menerima dos penggalak; 81 kes (58.27 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 78 kes (56.12 peratus) mempunyai komorbid; dan 3 kes (2.16 peratus) adalah kes ibu mengandung,” ujarnya. – UTUSAN