KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,041,733 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sejak bermulanya pandemik Covid-19, Kementerian Kesihatan memantau status jangkitan Covid-19 ke atas setiap golongan peringkat usia.
Beliau berkata, bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 6 Mac lalu, jumlah kes Covid-19 melibatkan individu berusia kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 748,037 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 301,268 kes jangkitan Covid-19 melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. Selain itu, kematian dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah adalah berjumlah 157 kes.
“Sebanyak 39 atau 24.8 peratus kes kematian adalah melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang ingin tahu mengenai perancangan perlindungan kepada kanak-kanak yang divaksin.
Menurut Dr. Noor Azmi, kehadiran varian Omicron menambah risiko jangkitan kepada kanak-kanak.
Sehingga 5 Mac lalu, jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan peningkatan ketara apabila 123,053 orang disahkan positif virus itu sejak Januari 2022.
“Terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.
Berhubung Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) ke atas penerima vaksin Covid-19 berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia pula, katanya, sehingga 25 Februari lalu, terdapat 94 laporan AEFI bersamaan kadar 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.
“Daripada 94 laporan yang diterima ini, hanya dua laporan yang dikategorikan sebagai serius. Kesan yang paling kerap dilaporkan termasuk demam, stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala.
“Kadar pelaporan AEFI bagi golongan kanak-kanak ini adalah lebih rendah berbanding kadar keseluruhan pelaporan AEFI (0.4 bagi setiap 1,000 dos).
“Bagi semua kes serius yang dilaporkan akan disiasat secara menyeluruh oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan di fasiliti kesihatan yang berkenaan,” katanya. – UTUSAN