PASIR MAS: Gigitan nyamuk pada kaki kanan, 28 tahun lalu mengubah hidup Rosmiza Awang Mat, 40, apabila bahagian tersebut membengkak dan terus membesar sehingga beratnya mencecah 100 kilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wanita dari Kampung Bunut di sini memberitahu, dengan bengkak berukuran 48 sentimeter (cm) panjang dan 26 cm lebar, dia kini sukar untuk bergerak.
Mahu tidak mahu, anak bongsu daripada tujuh beradik itu terpaksa menghabiskan masa hanya duduk di atas tilam selain perlu menggunakan sebuah troli khas jika mahu bergerak ke mana-mana.
Menceritakan kejadian awal, Rosmiza berkata, kaki kanannya mula membesar sedikit demi sedikit selepas dia digigit nyamuk ketika berusia 12 tahun dan keadaan itu memaksanya berhenti sekolah.
“Doktor mengesahkan saya menderita kanser kulit. Ketika berumur 15 tahun saya sudah pun menjalani pembedahan dan saiz kaki saya kembali normal. Namun beberapa bulan kemudian, ia membesar semula.
“Sekarang untuk bergerak ke mana-mana pun saya sudah tidak larat kerana terlalu berat. Jika mahu ke tandas yang terletak kira-kira 10 meter, kakak yang bernama Rubiah, 57, perlu mengusung saya naik ke atas troli,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Rosmiza yang menerima bantuan bulanan RM500 disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, dia memasang impian untuk menjalani pembedahan kali kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Walau bagaimanapun katanya, keluarganya tidak mampu menanggung kos pembedahan membuang ketumbuhan tersebut yang dianggarkan mencecah RM50,000.
“Saya harap sangat ada pihak yang sudi bantu salurkan sumbangan supaya saya boleh menjalani pembedahan secepat mungkin kerana sudah tidak sanggup lagi menanggung derita dan menyusahkan kakak saya,” katanya,
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 0302-0009052-20-8 atas nama Rosmiza Binti Awang Mat atau menghubunginya sendiri di talian 017-9672738.