Tiada kes kematian berpunca vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Tiada kes kematian berpunca vaksin Covid-19

Khairy Jamaluddin memberitahu tiada kes kematian berpunca daripada vaksinasi. -GAMBAR/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan tiada satu pun kes kematian selepas vaksinasi Covid-19 berpunca daripada pelalian itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, semua keputusan yang dibuat  adalah berpandukan kepada siasatan teknikal, saintifik dan klinik.

Menurut beliau, pihak kementerian mengakui terdapat banyak laporan melalui media tetapi sebenarnya tidak dibuat melalui saluran rasmi.

“Saya mahu tegaskan melalui data KKM, setiap hari terdapat 90 hingga 120 kes strok berlaku sebelum pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 maka jumlah itu menjadi penanda aras bagi penyakit itu.

“Apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan, sudah pasti ada kes strok yang sebenarnya tiada kaitan dengan vaksinasi kerana KKM sudah ada penanda aras,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Khairy berkata, apabila sesuatu kesan serius berlaku selepas vaksinasi, maka sangatlah penting, siasatan dilakukan melibatkan bedah siasat, analisis makmal melibatkan sampel tisu dan darah.

Katanya, apabila siasatan dibuat, maka sesuatu punca itu dapat dikenal pasti sama ada ia akibat vaksin ataupun perkara lain.

“Atas faktor ini jugalah, sesiapa sahaja tidak boleh mendakwa seseorang itu mengalami strok kerana vaksinasi.

“Kami di kementerian sangat bersimpati dengan pelbagai video yang ditularkan dengan pelbagai dakwaan tetapi dengan siasatan, kita akan tahu puncanya,” katanya.

Khairy berkata, apabila siasatan dibuat maka pelbagai aspek disiasat bagi mencari punca sebenar.

“Selepas itu, hasil siasatan akan dibentang kepada jawatankuasa yang mana ahlinya bukan sahaja doktor KKM tetapi wakil universiti.

“Pembentangan akan dibuat secara telus bagi membolehkan semua pakar itu membuat ketentuan punca kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN