PUTRAJAYA: Malaysia sehingga kini tidak mencatatkan kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 berbanding yang direkodkan tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sejak pandemik berlaku Mac 2020 sehingga Januari lalu, sebanyak 18,277 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan di Malaysia yang merupakan hanya 0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi jangkitan yang dilaporkan bagi tempoh sama.
Katanya, bilangan kes dalam kalangan ibu hamil melonjak naik pada Julai hingga September tahun lalu dan mula menunjukkan tren penurunan pada Oktober 2021 hingga Januari tahun ini.
“Berdasarkan rekod bermula negara dilanda pandemik, sebanyak 191 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dengan kesemua kematian dilaporkan berlaku pada tahun 2021 berbanding tahun ini, tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan.
“Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19 ialah liputan vaksinasi yang tinggi iaitu 94.7 peratus dalam kalangan populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas yang dicapai pada Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, analisa data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian tidak menerima vaksin Covid-19 manakala sebanyak 83 peratus daripada kes kematian mempunyai komorbid.
“Selain itu, masalah berat badan berlebihan atau obesiti juga merupakan faktor risiko yang kerap dilaporkan. Berdasarkan pencapaian kempen Ibunisasi, data sehingga akhir Oktober 2021 menunjukkan sebanyak 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut, 91 peratus lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19,” katanya. – UTUSAN