USIM terima dua Timbalan Naib Canselor baharu 

USIM terima dua Timbalan Naib Canselor baharu 

SHARIFUDIN Md. Shaarani (kiri) dan Adnan Mohamed Yusoff dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor USIM yang baharu berkuat kuasa 16 Februari 2022 sehingga 15 Februari 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima pelantikan dua orang Timbalan Naib Canselor yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa semalam sehingga 15 Februari 2025.

Mereka ialah Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, 51, yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) manakala Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, 53, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). 

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam kenyataan memaklumkan, Sharifudin yang merupakan lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Makanan daripada University of Cambridge sebelum ini merupakan Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM.

“Beliau aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan dengan menghasilkan jurnal-jurnal berimpak antarabangsa. Beliau aktif dalam aktiviti konsultansi dalam bidang industri halal dan telah banyak terlibat dengan projek industri halal di peringkat antarabangsa. 

“Sebagai seorang ahli akademik yang berpengalaman, kepakaran beliau amat dihargai dan telah dilantik bagi memegang pelbagai peranan penting dalam bidang pentadbiran dan akademik dan memegang keahlian profesional seperti Ahli Profesional Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT) dan Teknologis Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT),” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Adnan pula yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Institusi Sains Islam USIM.

“Beliau telah berkhidmat sebagai kakitangan akademik di USIM hampir 18 tahun dan merupakan seorang penulis yang prolifik dengan penerbitan lebih 50 buku dalam bidang kepakaran beliau.

“Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang pentadbiran dan akademik serta pernah memegang beberapa jawatan penting kebangsaan dan antarabangsa antaranya, sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2018-2021), Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan (2014-2020) dan Ahli Majlis Dakwah Negara (2014),” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN