PUTRAJAYA: Kerajaan Turki menawarkan biasiswa pelajaran kepada rakyat Malaysia yang berminat menyambung pengajian di negara berkenaan.
Berita baik itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menerusi hantaran di Facebook, hari ini yang memberitahu, permohonan biasiswa itu sudah dibuka dan berakhir pada 15 Mac ini.
“Alhamdulillah Kedutaan Besar Republik Turkiye memaklumkan bahawa Presidensi Hal Ehwal Ugama Turkiye bersama Yayasan Turkiye Diyanet mengumumkan tawaran program biasiswa itu. Ia membabitkan tawaran biasiswa bagi pengajian di Anatolian Imam Hatip High School, Theology Undergraduate dan Theology Graduate (Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah),” katanya.
Katanya, calon-calon dalam kalangan warganegara Malaysia yang berkelayakan dipelawa membuat permohonan dan maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang https://diyanetburslari.tdv.org.
Menurutnya, tawaran biasiswa itu adalah rentetan hasil pertemuannya bersama Duta Besar Republik Turkiye Merve Kavakci pada 14 Februari lalu.
“Saya mewakili kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Turki dan Kedutaan Besar Republik Turki di Malaysia atas peluang ini. Semoga hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Turki akan terus kukuh,” katanya. – UTUSAN