JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi tidak melihat faktor usia warga emas sebagai penghalang untuk dirinya menabur bakti kepada penduduk sekiranya kembali dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai itu berkata, walaupun sudah menjangkau usia 72 tahun, beliau yakin masih mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Katanya, usia muda sekali pun bukan faktor utama yang menjadi penentu bagi seseorang itu diterima pengundi.
“Walaupun ada pelbagai pandangan tentang calon yang sudah berusia dan tua, tetapi saya beranggapan apa yang lebih penting adalah perkhidmatan dan sumbangan kita kepada rakyat.
“Saya penuh yakin dengan apa yang telah saya lakukan sebagai wakil rakyat di Bukit Permai ini dan percaya pengundi bijak membuat keputusan kerana pada akhirnya adalah perkhidmatan kepada mereka.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tua juga sudah nak masuk 100 tahun boleh jadi pemimpin lagi, jadi itu semua saya tidak peduli, lebih penting khidmat saya untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah keluarga orang kurang upaya (OKU), di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri itu mengulas keperluan parti politik meletakkan calon veteran pada PRN Johor disebalik kehadiran pengundi baharu termasuk golongan pengundi muda berusia atas 18 tahun.
Bagaimanapun kata Tosrin, pihaknya sedar cabaran utama yang bakal dihadapinya adalah kehadiran kelompok pengundi baharu tersebut yang pertama kali akan mengundi.
“Sungguhpun begitu, saya bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya dicalonkan dan diberi mandat oleh rakyat kawasan ini bagi penggal kedua.
“Saya juga yakin bahawa Perikatan Nasional (PN) akan dapat membawa misi baharu kepada rakyat Johor,” jelasnya.
PRN Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac ini menyaksikan pertambahan seramai kira-kira 750,000 pengundi baharu ekoran pelaksanaan pendaftaran undi secara automatik susulan inisiatif Undi-18. – UTUSAN