BUTTERWORTH: Dalam satu tindakan yang disifatkan sebagai ikhtiar terakhir, para ibu bapa dan alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di sini menubuhkan satu tabung khas bertujuan ‘membeli’ dan menyelamatkan sekolah berusia 89 tahun itu.
Wakil alumni, Mohd. Aminuddin Baqy Mohd. Noor berkata, tabung itu diwujudkan sebagai tanda kesungguhan semua pihak untuk melihat sekolah tersebut kekal beroperasi.
Sehubungan itu katanya, mereka berharap lebih banyak pihak sama ada ibu bapa, orang awam, pihak swasta atau kerajaan negeri akan turut sama menyumbang kepada tabung itu dalam membantu usaha mengekalkan sekolah tersebut.
“Usaha ini juga kerana kami mahu melihat sekolah ini terus melahirkan generasi cemerlang pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, bapa murid sekolah itu, S. Ravindran, 42, berkata, dia menyokong segala usaha untuk mengekalkan sekolah tersebut yang banyak melahirkan pelajar cemerlang sebelum ini.
“Walaupun tidak mampu membantu lebih banyak, tetapi saya tetap menyokong tabung ini supaya sekolah ini diselamatkan.
“Ia sekolah yang bagus dan sebab itulah saya hantar anak saya ke sekolah ini walaupun banyak lagi sekolah berdekatan rumah,” katanya bapa kepada murid darjah empat itu.
Sementara itu, para ibu bapa turut meluahkan rasa kecewa kerana serami 53 murid sudah menerima surat penyuraian ke sekolah-sekolah berhampiran Isnin lalu tanpa sebarang perbincangan dengan pihak sekolah.
Ibu murid darjah dua dan enam, Nazirah Mohd. Salihu, 43, berkata, dia terkilan kerana anaknya perlu melapor diri ke SK St. Mark di sini, minggu depan sedangkan penggal persekolahan akan berakhir pada 28 Februari.
“Arahan itu terlalu singkat, sedangkan Kementerian Pelajaran sebelum ini memaklumkan memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak SK Assumption sehingga sesi persekolahan Penggal 3 bagi 2021/2022 tamat pada Mac.
“Walaupun akur anak-anak kami perlu melapor diri di sekolah baharu pada minggu terakhir penggal, tetapi kami terkilan kerana tiada sebarang perbincangan dan hanya menerima surat kelmarin,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan lesen sekolah berkenaan akan dibatalkan selepas penutupannya kerana pemilik tanah persendirian Sri Avenue Sdn. Bhd. telah meminta tanah dan bangunan tersebut dikembalikan kepada pihak mereka secepat mungkin.
Sekolah itu dilaporkan akan ditutup mulai 30 Mac depan iaitu sebulan daripada tarikh asal penutupan yang dihebahkan sebelum ini iaitu hujung bulan ini. – UTUSAN